Rabu, 24 Julai 2024

Pemuzik maut terkena renjatan elektrik selepas peluk peminat yang basah kuyup


Seorang pemuzik Brazil maut akibat terkena renjatan elektrik selepas dipercayai memeluk peminat yang dalam keadaan basah semasa persembahan secara langsung, baru-baru ini, lapor portal Independent pada 22 Julai 2024.


Ayres Sasaki, 35, membuat persembahan di Hotel Solar di Salinopolis, Brazil, pada 13 Julai, apabila dia menyentuh peminat yang basah kuyup. Sentuhan antara kedua-duanya mencetuskan renjatan elektrik.


Walaupun masih tidak jelas mengapa peminat itu dalam keadaan basah, dan kes itu masih dalam siasatan polis.


Dalam pada itu, polis berkata, saksi kejadian sudah memberikan keterangan dan pihak berkuasa sudah meminta laporan daripada pakar.


Walaupun kebanyakan laporan mendedahkan Sasaki mati selepas memeluk peminat, laporan oleh akhbar Brazil, Diario do Para menyatakan Sasaki bermain gitarnya ketika dia terkena renjatan elektrik.


The Solar Hotel berkongsi satu kenyataan di media sosial mengatakan bahawa mereka bekerjasama sepenuhnya dengan siasatan ke atas kematian Sasaki.


"Kami berdedikasi sepenuhnya untuk memberikan sokongan kepada keluarganya dan mengambil langkah yang perlu.


"Kami mengesahkan komitmen kami untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang berwibawa bagi mendapatkan penjelasan yang sewajarnya mengenai insiden itu.


"Ucapan takziah kami bersama keluarga dan rakan Ayres Sasaki pada masa yang sukar ini," tulis hotel itu dalam hantaran di Instagram.


Ibu saudara Sasaki, Rita Matos, memberitahu Istoé Gente: "Kami sedang menghubungi orang yang bersamanya pada masa ini untuk memahami bagaimana segala-galanya berlaku. Kami akan mengumpulkan semua maklumat dalam satu kenyataan yang akan kami keluarkan kepada akhbar".


Sasaki berkahwin 11 bulan lalu dan juga seorang perancang bandar, selain kerjaya nyanyiannya.


Isteri Sasaki, Mariana menyiarkan mesej di Cerita Instagramnya, mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas mesej sokongan mereka. - Sumber Independent.


Penyanyi, Ayres Sasaki meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik di Hotel Solar di Salinopolis, Brazil pada Sabtu lepas. - Foto Instagram/sasaki.


EmoticonEmoticon