Isnin, 22 Julai 2024

Pembantu kedai makan didakwa miliki pistol tiruan dan ambil dadah


Seorang pembantu kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu hari ini atas dakwaan memiliki pistol tiruan dan mengambil dadah.


Tertuduh, Zul Eizman Syafeeq Suhainin, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan ke atasnya itu dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.


Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati memiliki selaras pistol tiruan yang disimpannya dalam bilik sebuah rumah dekat Kampung Ladang Sehat di Kuala Terengganu kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 18 Julai lalu.


Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Bagi kesalahan itu, tertuduh mengaku tidak waras ketika kejadian dan memohon menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Tampin.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan 15 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Mengikut pertuduhan kedua, Zul Eizman Syafeeq didakwa dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana telah memasukkan dadah berbahaya jenis methamphetamine ke dalam badannya.


Kesalahan itu dikesan dilakukan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik daerah jam 2.30 petang pada hari yang sama.


Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan menjalani pengawasan polis sehingga tempoh tiga tahun.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 oleh seorang penjamin sebelum menetapkan 30 September depan untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Khairi Mohamed Noor, manakala tertuduh diwakili Azlina Jaafar.


Sebelum ini dilaporkan seorang lelaki dicekup polis selepas videonya menunggang motosikal sambil mengacu objek menyerupai sepucuk pistol tular di media sosial.


Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret atas tuduhan memiliki senjata tiruan dan memasukkan dadah ke dalam badan. - Foto Harian Metro.


EmoticonEmoticon