Pemain perseorangan China, Zhang Zhi Jie meninggal dunia ketika menyertai Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) di Yogyakarta, Indonesia malam Ahad.
Kejadian berlaku ketika pemain muda itu beraksi menentang Jepun dalam saingan peringkat kumpulan pada jam 12.20 malam.
Sebelum kejadian Zhi Jie dilihat menunggu pukulan servis daripada pemain lawan, sebelum tiba-tiba rebah di gelanggang.
Berita sedih itu dikongsi menerusi kenyataan bersama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Seluruh Indonesia (PBSI).
"Pemain perseorangan China, Zhi Jie rebah di atas gelanggang ketika beraksi. Doktor kejohanan dan pasukan perubatan kemudian bergegas memberi bantuan awal.
"Dia kemudian dikejarkan ke hospital menerusi ambulans, namun meninggal dunia pada jam 23.20 waktu tempatan semalam (Ahad)," kata kenyataan tersebut.
Badminton Asia, PBSI dan Jawatankuasa Penganjur merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Zhi Jie dan Persatuan Badminton China (CBA).
"Dunia badminton kehilangan pemain berbakat," katanya.
Pertandingan kategori berpasukan bermula sejak 28 Jun hingga 2 Julai. Selepas acara berpasukan saingan akan bersambung dengan pertandingan kategori individu.
Zhang Zhi Jie merupakan salah seorang pelapis perseorangan lelaki yang dimiliki China sekali gus diharapkan boleh meneruskan legasi negara Tembok Besar itu setelah era Chen Long, Lin Dan, dan Shi Yuqi.
Zhang Zhi Jie lahir di Jiaxing pada 2007. Kemampuan Zhi Jie di arena badminton membuatnya masuk ke pasukan utama muda China pada 2023.
Zhang Zhi Jie membuktikan kebolehannya di pentas remaja dengan menjadi juara kategori B-15 tahun pada 2022.
Setelah itu Zhi Jie juga mengikuti pelbagai kejuaraan seperti Kejuaraan Badminton Remaja 2023, baik di kategori perseorangan mahupun beregu.
Pada Mac 2024 Zhang Zhi Jie menjadi juara dalam kategori beregu lelaki Kumpulan B dalam Kejuaraan Badminton Kebangsaan 2024.
Bukan sahaja di peringkat kebangsaan, Zhi Jie juga turut muncul di kejuaraan-kejuaraan luar negeri. Zhi Jie menjadi juara di Kejuaraan Junior di Belanda pada 2024.
EmoticonEmoticon