Seorang pekerja pengurusan jenazah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan menakutkan isterinya dengan cara mengejar mangsa sambil memegang gunting dalam kejadian pada Sabtu lalu.
Tertuduh, Mohd Ridzuan Mohd Fauzi, 34, tidak mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd Ridzuan didakwa dengan niat menakutkan isterinya, Siti Najira Abdul Sahak, 39, dengan cara mengejar sambil memegang gunting.
Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh di sebuah pangsapuri dekat Kota Laksamana kira-kira jam 8.30 malam pada 20 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara selama tujuh tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.
Difahamkan tertuduh 'naik hantu' selepas bayi mereka berusia tiga bulan dikatakan terjatuh dan mendakwa kejadian itu berlaku gara-gara mangsa cuai.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Izzuddin Ab Malek dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Wardah tidak menawarkan jaminan, namun memohon jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan.
Peguam bela tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh berkerja membuat pengurusan jenazah dengan pendapatan RM1,800 dan mempunyai tanggungan dua anak.
"Tertuduh juga bersedia dengan syarat tambahan dan berjanji akan hadir di mahkamah pada tarikh akan datang," katanya.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 beserta syarat tambahan tidak akan menganggu mangsa sehingga kes selesai.
Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 Ogos depan untuk lantikan peguam bela dan serahan dokumen.
EmoticonEmoticon