Ahad, 21 Julai 2024

Majikan kongsi pampasan RM5 juta dengan 400 bekas pekerja walaupun kilang sudah ditutup 24 tahun lalu


Seorang majikan sebuah syarikat di China berkongsi hampir lapan juta yuan (kira-kira RM5.15 juta) dengan lebih 400 bekas kakitangan, walaupun kilang miliknya sudah ditutup selama 20 tahun.


South China Morning Post (SCMP) pada 20 Julai 2024 melaporkan, dia juga membayar pekerja yang meletak jawatan dan waris kepada kakitangan sudah meninggal dunia.


Guo Chongzhi, 70, dari Chongqing di tengah China, adalah bekas pengarah Chongqing General Valve Factory, yang ditubuhkan pada 1971 dengan tenaga kerja melebihi 400 orang pada zaman kemuncaknya.


Bagaimanapun, keadaan ekonomi memaksa kilang itu ditutup pada tahun 2000 dan bangunan itu dirobohkan pada 2018 sebagai sebahagian daripada rancangan pengambilan tanah oleh pihak perbandaran.


Pada Mac tahun lalu, Guo menerima 7.7 juta yuan (kira-kira RM5 juta) sebagai pampasan untuk bangunan kilangnya yang dirobohkan itu.


Guo percaya bahawa setiap bekas kakitangan, sama ada bersara, meletak jawatan atau meninggal dunia, mempunyai hak terhadap bayaran berkenaan.


Selepas mesyuarat, keputusan dibuat untuk membahagikan pampasan itu kepada dua bahagian, 35 peratus untuk kakitangan terdahulu dan 65 peratus bagi mereka yang masih bekerja sejurus sebelum penutupan kilang.


Jumlah itu kemudiannya dibahagikan lagi mengikut tempoh perkhidmatan setiap individu di kilang.


"Tempoh itu sangat tertekan. Saya mengalami insomnia hampir setiap malam, bangun selepas hanya satu jam tidur. Saya kehilangan kira-kira tiga kilogram (kg) dalam masa dua minggu," kata Guo kepada Chongqing Daily News Group.


Usaha mencari bekas kakitangan yang sudah meletak jawatan, bersara dan meninggal dunia adalah satu tugas sukar, memandangkan kilang itu sudah lama ditutup.


Guo menggunakan pelbagai strategi untuk mengesan mereka termasuk menyiarkan notis orang hilang dalam komuniti dan meminta bantuan polis untuk mendapatkan maklumat.


Guo sudah menyenaraikan 406 kakitangan, dengan 371 daripadanya sudah menerima pampasan mereka.


Bagi baki 35 individu yang masih belum ditemui, Guo meminta bantuan media dan berjaya membantunya mencari kira-kira 20 bekas kakitangan.


Salah seorang bekas pekerja yang meletak jawatan, Wen Zhihong, sakit tenat dan menerima wang sejurus sebelum dia meninggal dunia.


"Segala-galanya disediakan untuk pekerja ini, kami hanya menunggu mereka tampil ke hadapan, menandatangani dan menerima wang mereka," katanya.


Guo dipuji secara meluas oleh komuniti dalam talian di China.


"Orang lain akan mencari jalan untuk mengelak daripada mengagihkan wang itu, tetapi dia meminta bantuan daripada media untuk mencari pekerja dan mengagihkannya kepada mereka. Dia benar-benar dihormati," tulis seorang pengguna. - Sumber SCMP.


Guo Chongzhi memeriksa rekod lama syarikat untuk mencari bekas pekerjanya. - Foto Baidu.

Guo Chongzhi menggunakan pelbagai cara untuk mencari bekas pekerjanya. - Foto Baidu.


EmoticonEmoticon