Seorang peniaga kedai runcit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini atas pertuduhan merogol anak perempuan tirinya berusia 12 tahun bulan lalu.
Tertuduh yang merupakan warga Bangladesh berusia 47 tahun mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.
Lelaki asing itu didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di sebuah rumah di Ipoh pada pukul 1 tengah hari, 23 Jun lalu.
Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwaan Raya, Qurratu’aini Khalifah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dengan alasan mempunyai hubungan dengan mangsa, namun jika mahkamah membenarkannya, beliau memohon jumlah maksimum dikenakan.
Peguam C. Kaladevi memberitahu mangsa kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan akan dihantar kepada datuk dan neneknya di Sabah untuk dijaga.
Malah katanya, tertuduh menetap di Malaysia selama 29 tahun dan tinggal berasingan dengan keluarganya di Buntong. Mahkamah juga dicadang mengambil pasport tertuduh selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran.
"Dengan cara menahan pasport, tiada cara anak guam saya pergi ke Sabah untuk mengganggu mangsa," katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 berserta syarat tambahan dipohon. Tertuduh tidak dibenarkan menghubungi dan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Sebutan semula kes pada 12 Ogos ini.
EmoticonEmoticon