Sabtu, 20 Julai 2024

Jambatan runtuh beberapa kenderaan terjunam dalam sungai, 11 maut lebih 30 hilang


Sebuah jambatan runtuh disebabkan hujan lebat di wilayah Shaanxi, utara China dalam bencana yang menyebabkan 11 orang terbunuh dan lebih 30 lagi hilang, lapor media pemerintah hari ini.


Jambatan itu, yang terletak di Daerah Zhashui di Bandar Shangluo, wilayah Shaanxi runtuh sekitar pukul 8.40 malam semalam (waktu tempatan), 'disebabkan hujan lebat dan banjir kilat yang berlaku secara tiba-tiba', kata agensi berita Xinhua.


Badan penyiaran rasmi CCTV melaporkan, hampir 20 kenderaan dan lebih 30 orang masih hilang selepas jambatan menghubungkan sebuah lebuh raya itu runtuh ke dalam sungai berkenaan.


Kesemua 11 mangsa yang terbunuh ditemui di dalam lima kenderaan yang terjatuh ke dalam sungai.


Stesen-stesen televisyen pemerintah menyiarkan rakaman menunjukkan sebahagian jambatan itu tenggelam digenangi air sungai yang mengalir deras.


Seorang saksi berkata, dia telah menghampiri jambatan itu tetapi pemandu lain mula 'menjerit kepada saya supaya memberhentikan kereta.'


"Sebuah lori di hadapan saya tidak berhenti dan jatuh ke dalam air," kata saksi yang bernama Meng.


Sebahagian besar utara dan tengah China dilanda hujan lebat sejak Selasa lalu yang menyebabkan banjir dan kerosakan ketara.


Semalam media pemerintah melaporkan sekurang-kurangnya lima orang maut dan lapan hilang selepas hujan mencetuskan banjir dan tanah runtuh di bandar Baoji, wilayah Shaanxi. - Sumber Xinhua.


Sebahagian jambatan yang runtuh di Shangluo, wilayah Shaanxi semalam. - Foto Xinhua.


EmoticonEmoticon