Selasa, 23 Julai 2024

Curi wang pelanggan lebih RM24 juta, 10 individu termasuk pegawai bank ditahan SOSMA


Seramai 10 individu akan dituduh di Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis ini kerana terbabit dengan sindiket curi wang deposit tetap milik pelanggan berjumlah RM24.7 juta.


Sembilan daripadanya akan dituduh di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, manakala seorang lagi individu akan didakwa mengikut kesalahan berkaitan Peraturan Pendaftaran Negara 1990.


Salah seorang daripada individu yang akan dituduh itu merupakan pengurus di sebuah bank, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.


Menurut beliau, sebelum ini, pihaknya menahan 14 individu berusia 26 hingga 63 tahun di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).


Susulan itu, pasukan penyiasat berjaya mengenal pasti wujud elemen kumpulan jenayah terancang dalam sindiket itu yang bertindak secara bersama bagi mendapatkan faedah material, katanya.


"Ini adalah kali pertama kesalahan jenayah komersial diambil tindakan di bawah SOSMA.


"Pada 22 Julai lalu, Timbalan Pendakwa Raya memberikan arahan untuk menuduh sembilan individu di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.


"Seorang lagi individu akan didakwa mengikut kesalahan berkaitan Peraturan Pendaftaran Negara 1990," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK di Menara KPJ, Kuala Lumpur hari ini.


Mengulas lanjut, Ramli berkata, semua individu yang akan dituduh itu adalah termasuk dalang sindiket serta pengurus bank yang bersubahat dalam kegiatan terbabit.


Siasatan turut mendapati sindiket berkenaan memulakan perancangan kegiatan sejak hujung tahun lalu dan mula bertindak pada Mac hingga Jun lepas.


"Mereka didapati mempunyai niat dan perancangan rapi sehingga berjaya menghasilkan kad pengenalan palsu dipercayai boleh digunakan dalam urusan bank dan mampu memanipulasi alat pengimbas cap jari digunakan pihak bank.


"Kami percaya kegiatan sindiket ini berjaya dilumpuhkan melalui pertuduhan terhadap 10 individu terbabit," tegasnya.


Pada 15 Jun lalu, media melaporkan seorang kakitangan bank ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan wang dari akaun simpanan tetap membabitkan kerugian RM24.7 juta.


Ramli dipetik berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank awal Jun lalu di Petaling Jaya, Selangor.


Ia selepas mangsa menyedari terdapat pengeluaran wang mencurigakan dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu, Sabah, membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.


Katanya, seramai 14 individu ditahan termasuk empat pegawai bank dan ahli perniagaan bergelar 'Datuk' di beberapa serbuan di Perlis dan Sabah.


Ramli pada sidang media di Menara KPJ, di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini.


EmoticonEmoticon