Isnin, 15 Julai 2024

Anggota polis trafik cedera, patah tulang pinggul dilanggar pemandu mabuk


Seorang anggota polis trafik yang sedang bertugas cedera selepas dilanggar kereta yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mabuk di Kilometer 3.6 Jalan Pantai di Johor Bahru, semalam.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian jam 7.05 pagi itu, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan yang berusia 30-an itu sedang mengawal aliran trafik selepas berlaku satu kemalangan di lokasi terbabit.


"Kemalangan berlaku ketika mangsa sedang membuat kawalan lalu lintas berikutan satu kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbabas sendiri di lorong kanan menghala ke Permas Jaya.


"Ketika proses penundaan dilakukan, tiba-tiba datang sebuah kereta Proton Wira warna Perak dari arah belakang mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri lalu melanggar anggota polis trafik yang sedang berdiri di sebelah trak tunda," katanya menerusi kenyataan media, semalam.


Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa tercampak ke atas cermin hadapan Proton Wira berkenaan sebelum melambung dan terjatuh di tengah jalan.


Menurutnya, mangsa patah tulang pinggul sebelah kiri, luka di muka dan dagu selain luka di bahagian tangan kanan.


Manakala, katanya, pemandu kereta berkenaan yang berusia 30-an pula luka pada tangan sebelah kiri.


"Hasil ujian pernafasan mendapati pemandu kereta berkenaan positif alkohol dalam darah, manakala hasil ujian saringan awal air kencing mendapatinya negatif dadah," jelasnya.


Mahkamah Majistret di Johor Bahru hari ini membenarkan reman selama empat hari terhadap lelaki tersebut hingga Khamis depan.


Perintah reman berkenaan dikeluarkan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.


Permohonan reman dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan bawah Seksyen 44 (1A)(B) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu bawah pengaruh alkohol.


Seorang anggota polis trafik yang sedang bertugas cedera selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mabuk di Kilometer 3.6 Jalan Pantai, Johor Bahru, semalam. - Foto Harian Metro.


EmoticonEmoticon