Khamis, 25 Julai 2024

Anak tauke restoran yang hilang Ahad lalu, ditemukan mati akibat dibunuh


Misteri kehilangan seorang lelaki sejak Ahad lalu, terjawab apabila mayatnya ditemui dipercayai dibunuh di kawasan semak berdekatan sebuah ladang di Kampung Sungai Memanjang, Sandakan, Sabah, hari ini.


Mayat mangsa dikenali sebagai Naufal Abdul Rashid, 35, dipercayai anak kepada pemilik sebuah restoran terkenal di daerah ini ditemui kira-kira jam 11 pagi ketika sepasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, melakukan pemeriksaan di kawasan tersebut.


Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy Kuppan, berkata pihaknya menerima laporan awal berhubung penemuan sebuah kenderaan pacuan empat roda terbakar di kawasan berkenaan.


Beliau berkata, susulan itu sepasukan polis dikejarkan ke tempat berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.


"Setiba di lokasi didapati sebuah kenderaan pacuan empat roda terbakar, namun tiada individu di dalam kenderaan berkenaan.


"Anggota bertugas kemudian menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi kenderaan itu sebelum menemui satu mayat lelaki yang disyaki berkaitan satu kes laporan orang hilang pada Ahad lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Ramasamy berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess Of kent (HDOK) Sandakan untuk tujuan bedah siasat.


"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.


Sebelum ini tular di media sosial berkaitan kehilangan seorang lelaki yang juga anak tauke restoran kira-kira jam 3 petang, Ahad lalu.


Mayat lelaki dibawa ke Unit Forensik HDOK untuk tujuan bedah siasat. - Foto Sinar Harian.


EmoticonEmoticon