Sabtu, 27 Julai 2024

7 mak nyah berbaju kurung, tudung dan berpakaian seksi ditahan di Terengganu


Gara-gara berpakaian seperti wanita termasuk berbaju kurung dan bertudung, tujuh lelaki ditahan atas kesalahan berpakaian wanita dalam operasi dijalankan di sebuah flat pada malam Jumaat.


Kesemua tujuh lelaki itu berusia dalam lingkungan 17 hingga 54 tahun ditahan pada pukul 12 tengah malam oleh pasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).


Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, serbuan tersebut dijalankan di tiga buah rumah di sebuah flat dekat bandar Kuala Terengganu kira-kira jam 12.15 tengah malam (Sabtu).


Menurutnya, ketika serbuan terdapat antara lelaki berkenaan memakai baju kurung serta berpakaian menjolok mata. Serbuan itu dilakukan berikutan aduan daripada penduduk setempat.


"Mereka mendakwa kurang selesa dengan perlakuan lelaki berpakaian wanita terbabit yang sering berkumpul di beranda rumah masing-masing terutama pada waktu malam.


"Perbuatan itu didakwa menarik ramai lelaki 'berhidung belang' memasuki kawasan flat berkenaan," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.


Aizi Saidi berkata, serbuan yang dilakukan di tiga buah rumah di kawasan flat berkenaan dijalankan hasil pemantauan beberapa kali oleh pegawai penguat kuasa syariah sebelum ini.


Mengulas lanjut, Aizi Saidi berkata, mereka ditahan di bawah Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001 iaitu lelaki yang berlagak seperti perempuan.


"Mereka telah dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut sebelum dibebaskan dengan bon jaminan hadir ke mahkamah," katanya.


Sebahagian lelaki berpakaian wanita yang ditahan JHEAT di sebuah flat di Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Sinar Harian.


EmoticonEmoticon