Khamis, 27 Jun 2024

Pelukis tatu direman 4 hari gara-gara liwat pelanggan lelaki


Seorang pelukis tatu ditahan polis selepas disyaki meliwat pelanggannya dalam kejadian di sebuah premis, di Petaling Jaya, Selangor kelmarin.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, suspek tempatan berusia 37 tahun itu ditangkap di rumahnya di Sungai Way, daerah Petaling kira-kira pukul 8.12 malam tadi.


"Semakan lanjut mendapati suspek memiliki dua rekod kesalahan jenayah lampau dan jenayah yang mana liwat adalah kesalahan pertamanya.


"Siasatan lanjut mendapati, modus operandi suspek adalah dengan mencalitkan minyak pada anggota badan pelanggan sehingga mangsa tidak sedarkan diri sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh," katanya.


Tambah beliau, suspek kini direman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan lanjut.


"Siasatan kes sedang dijalankan di Bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana meliwat iaitu melakukan persetubuhan secara luar tabii.


"Pelaku kesalahan tersebut boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan," tambahnya.


Media tempatan semalam melaporkan pemandu syarikat penghantaran barang itu berdepan detik malang apabila menjadi mangsa liwat pelukis tatu ketika mendapatkan khidmatnya.


Niat untuk melukis tatu bunga di tangan bertukar episod malang. Suspek mula melukis bunga di tangan kanan dan menyapu minyak menyebabkan mangsa berusia 24 tahun tidak sedar apa yang terjadi.


"Selepas itu, mangsa tersedar dan mendapati dirinya dalam keadaan tidak berpakaian.


"Mangsa kemudiannya terus keluar dari premis dan berasa amat sakit di bahagian dubur serta mengesyaki lelaki itu meliwatnya.


"Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis sebelum menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)," ujarnya.


EmoticonEmoticon