Selasa, 11 Jun 2024

Lebih 1,000 haiwan pelbagai spesies mati terbakar di pasar popular


Beribu-ribu haiwan pelbagai spesies mati terbakar di sebuah pasar yang popular dalam kalangan pelancong asing di Bangkok, lapor portal berita Bangkok Post pada 11 Jun 2024.


Pejabat daerah Chatuchak melaporkan bahawa kebakaran bermula kira-kira 4.10 pagi di pasar Sri Somrat, di mana terdapat 118 kedai haiwan peliharaan di kawasan seluas 1,400 meter persegi. Pasar ini terletak di belakang pusat beli-belah JJ Mall di Jalan Kamphaeng Phet 3.


Lebih 10 jentera dari banyak balai Bomba tempatan bergegas ke tempat kejadian dan mengambil masa kira-kira setengah jam untuk memadamkan kebakaran. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.



Seorang pekerja kedai burung memberitahu pasukan penyelamat bahawa dia menyedari tentang kebakaran itu akibat bunyi kuat burung.


Katanya, asap tebal kemudian muncul dan menyukarkan pernafasannya. Dia kemudian bertindak melompat dari tingkat dua kedainya untuk menyelamatkan diri.


Seorang lagi berkata kebakaran bermula di kedai anjing di mana pemilik biasanya membiarkan kipas elektrik dihidupkan sepanjang malam untuk memastikan keselesaan haiwan itu.


Penjual itu percaya beribu-ribu haiwan telah mati dalam kebakaran itu, yang merebak di kawasan pasar.


Zon haiwan itu menempatkan pelbagai haiwan termasuk anjing, kucing, burung yang jarang ditemui, ikan dan haiwan eksotik yang mahal.


Punca kejadian masih disiasat pihak berkuasa. - Sumber Bangkok Post.


Kebakaran berlaku di zon haiwan Pasar Chatuchak, Bangkok hari ini. - Foto JS 100 radio.


EmoticonEmoticon