Dua beradik perempuan tergamak membunuh ayah kandung mereka ketika orang tuanya itu sedang tidur, lapor laman berita Tribun News pada 24 Jun 2024.
Perbuatan zalim itu dilakukan di dalam sebuah kedai perabot milik mangsa di kawasan Duren Sawit, Jakarta Timur pada Rabu, 19 Jun 2024.
Dua pelaku kini sudah ditahan oleh polis Metro Jaya dan bakal dibicarakan susulan tindakan itu.
Sementara itu menurut Ketua Perhubungan Awam Polda Metro Jaya, Kombes Ade Ary Syam Idradi, berkata apa yang mengejutkan adalah kedua pelaku masih di bawah umur.
Ujarnya, seorang didapati melakukan perbuatan membunuh sementara seorang lagi mendorong untuk perbuatan itu dilakukan.
"Kita sudah menangkap dua orang anak perempuan mangsa, iaitu seorang bernama K,17 dan seorang lagi P, 16, kedua-dua mereka adalah anak kandung," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Remaja berusia 17 tahun itu melakukan aksi itu ketika mangsa sedang tidur di kedai perabotnya yang juga merupakan kediaman mereka.
Sebelum meninggalkan tempat kejadian, K menutup badan mangsa dengan selimut. Dia juga mengunci kedai itu dari luar, membawa lari telefon bimbit dan motosikal mangsa.
Kemudian mayat mangsa ditemukan oleh seorang pekerja yang datang periksa kedai tempat dia kerja pada hari Jumaat (21/6/2024) petang.
"Kedai itu berkunci, pintu pengatup bergolek juga ditutup. Akhirnya dia menjemput saksi lain yang merupakan pekerja untuk memeriksa," kata Ade Ary.
Selepas dibuka, pintu pengatup bergolek itu terkena kaki mangsa yang ternyata meninggal dunia di atas katil dengan kesan tikaman di dada.
Penemuan itu kemudiannya dilaporkan kepada polis. Tidak lama kemudian, polis menangkap K tidak jauh dari lokasi kejadian pada Sabtu (22/6/2024).
Hasil siasatan mendapati mangsa ditikam dua kali dengan senjata tajam dipercayai pisau dapur dan meninggal dunia di tempat kajadian.
Polis mendedahkan mangsa sudah berpisah dengan isterinya, dan hanya tinggal bersama dua anak perempuannya di tempat kejadian.
"Siasatan juga mendapati, mereka membunuh ayah sendiri kerana sakit hati akibat sering dimarah mangsa," katanya. - Sumber Tribun News.
EmoticonEmoticon