Ahad, 23 Jun 2024

Isteri nekad bunuh suami kerana sakit hati hidup miskin


Seorang isteri dari daerah Rejang Lebong, di Bengkulu, Indonesia telah bertindak kejam dengan membunuh suaminya hanya kerana tidak berpuas hati dia hidup dalam kemiskinan.


Mangsa ditemui maut dengan luka parah di bahagian belakang leher, selepas diserang dengan sebilah parang oleh suspek pada Khamis (20 Jun).


Menurut laporan media tempatan, kejadian bermula apabila berlaku pentengkaran mulut antara mereka berdua, hingga membawa insiden salah menyalah antara satu sama lain.


Sementara polis yang mengesahkan kejadian itu berkata, kejadian pembunuhan dipercayai berlaku pada pukul 6 pagi Khamis, waktu tempatan di sebuah kebun berhampiran dengan rumah mangsa dan pelaku.


"Pelaku adalah isterinya sendiri iaitu Asmaul Husna yang berusia 38 tahun, sementara mangsa yang dikenali sebagai Wandra Haifs berusia 44 tahun.


"Mayat mangsa kemudian kami bawa ke hospital untuk dilakukan bedah siasat," kata Ketua Balai Polis Selupu Rejang, Inspektor Ibnu Sina Alfaraobi.


Katanya lagi, menerusi keterangan saksi pelaku acap kali bertelagah dan sentiasa berselisif faham dengan mangsa akibat tekanan kewangan keluarga.


Suspek kini telah ditahan polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Rejang Lebong untuk siasatan lanjut.


Dalam pada itu, Ibnu Sina berkata, polis juga kini mencari barang bukti iaitu sebilah parang yang dipercayai telah dibuang suspek selepas kejadian.


Sementara itu, jenazah mangsa telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Umum yang terletak tidak jauh dari kediaman mangsa pada Khamis. - Sumber Detik.com.


Polis tiba dilokasi dan kemudian membawa mayat ke hospital untuk bedah siasat. - Foto Istimewa/Polres Rejang Lebong.


EmoticonEmoticon