Dua lelaki dipercayai penjenayah ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di Jalan Abad di Johor Bahru, Johor petang semalam.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, dalam insiden 5.04 petang itu, seorang suspek berusia 42 tahun disahkan maut di lokasi kejadian bersama seorang lagi rakannya yang berada di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka.
Katanya, hasil siasatan awal, suspek maut berusia 42 tahun itu mempunyai 38 rekod jenayah membabitkan dadah, manakala seorang lagi suspek belum dikenal pasti identitinya kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan.
"Insiden semasa sepasukan polis dari Bahagian D14, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian D9, JSJ Kontinjen Johor mengekori sebuah Toyota Estima berwarna putih di lokasi kejadian yang berada dalam keadaan mencurigakan.
"Apabila menyedari diekori, suspek bertindak melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis yang sedang mengekori rapat.
"Tindakan suspek menyebabkan pihak polis turut melepaskan tembakan ke arah MPV dinaiki suspek. Kejadian berbalas tembakan berlarutan sehingga keadaan selamat.
"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek yang berada di dalam Toyota Estima itu terkena tembakan dan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, tular beberapa video memaparkan insiden berbalas tembakan itu yang mengejutkan penduduk setempat.
Turut tular, video memaparkan anggota polis menutup beberapa jalan selain melencongkan aliran trafik di kawasan kejadian, dan lokasi insiden itu ditutup buat sementara waktu.
Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Kumar berkata polis turut menjumpai dua pistol di dalam kenderaan itu dan sepucuk pistol pada badan seorang daripada suspek.
Dalam pada itu, polis turut menjumpai pelbagai jenis bahan dipercayai dadah dalam kenderaan berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
EmoticonEmoticon