Jumaat, 3 Mei 2024

Tayar meletup ketika diisi angin, pekerja pusat servis kenderaan maut, rakan parah


Seorang pekerja pusat servis kenderaan maut, manakala seorang lagi parah selepas tayar jentolak meletup ketika sedang diisi angin dalam kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh, pada Selasa lalu.


Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 12.40 tengah hari ketika kedua-dua mangsa sedang mengisi angin tayar sebuah jentolak.


"Bagaimanapun, tayar berkenaan tiba-tiba meletup sehingga terkena kedua-dua mangsa mengakibatkan salah seorang maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi parah.


"Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan selanjutnya," katanya menerusi kenyataan, hari ini.


Menurut beliau, semakan mendapati kedua-dua mangsa berusia 19 dan 21 tahun merupakan lelaki warga tempatan.


Mengulas lanjut, Mohd. Hafiz memaklumkan kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR) dan satu kertas siasatan dibuka.


"Siasatan sebelum ini mendapati kejadian terbabit telah ditularkan menerusi satu gambar kejadian berserta rakaman suara.


"Orang ramai diminta tidak membuat atau menyebarkan spekulasi berhubung kejadian ini," katanya.


Pada Khamis, tular gambar serta rakaman suara berkaitan kejadian melibatkan tayar meletup di sebuah pusat servis kenderaan di Sungai Buloh, Selangor.


Tangkap layar video tular memaparkan dua lelaki berlumuran darah selepas tayar jenis jentolak meletup secara tiba-tiba dalam kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh, Selasa lalu. - Foto Kosmo Online.


EmoticonEmoticon