Seorang wanita di China terpaksa menjaga anak pasangan suami isteri selama berbulan-bulan tanpa dibayar gaji, selepas ibu bapa kanak-kanak itu hilang tanpa dikesan, lapor laman berita Oddity Central pada 10 Mei 2024.
Pasangan itu dilaporkan menghilangkan diri bersama wang yang mereka pinjam daripada wanita itu sebanyak 110,000 yuan (kira-kira RM72,133).
Wanita yang hanya dikenali sebagai Cikgu Yu, menjadi tajuk-tajuk utama di China selama lebih sebulan. Menurut Yu, dia tidak mendapat gajinya sejak November tahun lalu.
Dia mendakwa diupah oleh pasangan itu di Harbin, wilayah Heilongjiang untuk menjaga anak lelaki mereka yang baru lahir dengan gaji bulanan 7,000 yuan (RM4,591).
Tidak lama selepas membuat perjanjian, pasangan tersebut memberitahu Yu bahawa mereka perlu pergi ke Tianjin untuk menerima harta pusaka termasuk barangan mewah.
Mereka kemudian meminta dia memberikan pinjaman untuk bayaran peguam dan kertas kerja. Pasangan itu juga memutuskan untuk meninggalkan anak mereka dengan Yu ketika mereka menyelesaikan isu harta tersebut di Tianjin.
Namun sehingga sekarang, kelibat suami isteri itu tidak muncul, manakala menurut orang ramai, mereka mengesyaki kanak-kanak berkenaan bukan anak kandung pasangan tersebut.
Yu gagal menghubungi kedua-dua mereka dan dalam masa sama, dia mengaku tidak sanggup mengabaikan kanak-kanak tersebut yang sudah dijaga selama berbulan-bulan.
Lebih memburukkan keadaan, Yu telah meminjamkan sejumlah wang yang besar kepada mereka termasuk wang yang dipinjam daripada abangnya.
Pada awalnya dia percayai pasangan itu akan membayarnya apabila mereka mendapat harta pusaka yang besar itu.
"Saya memberikan semua simpanan saya kepada mereka, tetapi sejak November tahun lalu, saya tidak menerima sebarang gaji, mereka juga berhutang gaji saya dan wang yang saya pinjam daripada abang saya," keluh Yu. - Sumber Oddity Central.
EmoticonEmoticon