Rabu, 1 Mei 2024

Sebuah penempatan yang 'hilang' lebih 50 tahun muncul semula


Sebuah penempatan lama berusia hampir 300 tahun yang tenggelam disebabkan pembinaan empangan di utara Filipina, muncul semula selepas paras takungan menurun akibat kemarau, lapor akhbar The Sun UK pada 30 April 2024.


Sisa runtuhan di tengah-tengah Empangan Pantabangan dalam wilayah Nueva Ecija, kini menjadi tarikan pelancong walaupun kawasan itu dilanda panas melampau.


Ia merupakan kali keenam pekan lama itu muncul semula sejak empangan tersebut dibina pada 1970-an.


Bangunan perbandaran dan tanah perkuburan bersama-sama dengan 20,000 ekar tanah ladang semuanya ditenggelami di bawah tasik baharu itu.



Kira-kira 1,300 orang penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi sebelum pekan itu hilang di bawah takungan.


Empangan Pantabangan diwujudkan bagi menyediakan sistem pengairan untuk petani tempatan dan menjana kuasa hidro.


"Ini adalah masa paling lama (sisa runtuhan boleh dilihat) berdasarkan pengalaman saya," kata Marlon Paladin, seorang jurutera dari agensi kerajaan yang mengendalikan empangan berkenaan.


Paras air empangan itu berkurang sebanyak hampir 50 meter daripada paras tinggi biasa iaitu 221 meter, demikian menurut angka daripada peramal cuaca negeri.


Selepas berbulan-bulan tanpa hujan, separuh daripada wilayah di negara ini mengalami kemarau dengan suhu terik mencecah 50 darjah celsius.


Pekan ini kekal tersembunyi di bawah air sepanjang tahun. Tetapi pada musim panas dan kering, tinggalan kampung yang hilang dapat dilihat oleh pelancong yang mengunjungi tapak tersebut.


Pekan berusia hampir 300 tahun itu dianggap sebagai zon warisan budaya dan pelawat boleh membayar yuran sederhana sebanyak $5 untuk memasuki tapak selama 40 minit.


Mereka juga perlu membayar untuk menaiki bot yang membawa mereka ke pusat takungan. - Sumber The Sun UK.


Sisa-sisa runtuhan boleh dilihat pada musim panas dan kering. - Foto Getty.

Pekan yang tenggelam itu muncul semula selepas paras air menurun akibat kemarau. - Foto Getty.

Kampung yang hilang ditenggelami air pada tahun 1970-an. - Foto Getty.

Empangan Pantabangan yang kering dikunjungi oleh ramai pelancong. - Foto Getty.


EmoticonEmoticon