Jumaat, 24 Mei 2024

Melutut minta maaf, anak hina bapa di khalayak ramai tidak membelikannya iPhone


Perbuatan seorang gadis yang sanggup memalukan bapa sendiri di khalayak ramai hanya kerana tidak membelikannya telefon pintar iPhone menjadi tular di media sosial, lapor akhbar South China Morning Post pada 22 Mei 2024.


Rakaman kejadian dimuat naik oleh seorang pejalan kaki bernama Zhong yang berada di lokasi kejadian sekitar Taiyuan, wilayah Shanxi pada 4 Mei lalu.


Zhong berkata, perbualan dua beranak itu sangat kuat sehingga dia mendengar jelas butirannya.


Gadis itu menjerit sambil menghina bapa kandungnya. Dia berbuat demikian kerana lelaki itu gagal memenuhi permintaannya untuk memiliki iPhone seperti rakan-rakan lain.


"Ibu bapa lain boleh membelikan anak mereka iPhone. Kenapa awak tak ada duit?," kata gadis itu.


Si bapa melutut sambil menggelengkan kepala dan meminta maaf kepada anaknya kerana gagal menunaikan permintaan itu. 


Rata-rata netizen mengecam tindakan gadis itu, namun ada yang mengkritik lelaki itu kerana gagal mendidik anak perempuannya dengan wajar.


"Anak-anak terlalu mementingkan keselesaan sendiri tetapi tidak menghiraukan kesusahan ibu bapa. Ini adalah tragedi dalam masyarakat hari ini!" kata seorang netizen.


Insiden ibu bapa atau datuk nenek terlalu memanjakan anak-anak mereka sering menjadi tajuk utama di tanah besar China.


Pada 2019, seorang budak lelaki berusia 10 tahun di wilayah Jiangxi timur menarik rambut ibunya dengan kuat apabila ibunya enggan membelikannya mainan di pusat membeli-belah.


Tahun lepas, seorang remaja lelaki menendang dan memukul neneknya selepas dia menyuruhnya berhenti bermain permainan mudah alih dan menyerahkan semula gajet itu kepadanya. - Sumber South China Morning Post.


Tangkap layar gadis itu memarahi ayahnya yang tidak membelikannya Iphone. - Foto BAIDU.


EmoticonEmoticon