Seorang lelaki di Kota Medan, Indonesia tergamak membakar rumah orang tuanya selepas gagal mendapatkan wang daripada mereka untuk membeli dadah dalam kejadian Ahad lalu, lapor laman berita Kompas.com pada 13 Mei 2024.
Sebuah video tular yang dikongsi di akaun Instagram @medanku, memaparkan seorang lelaki tanpa pakaian keluar dari sebuah rumah dengan santai. Sementara itu, api sedang marak di dalam rumah tersebut.
"Orang gila, rumahnya hangus terbakar. Tengok tu, saya tidak boleh membantu tetapi hanya melihat orang ini," kata perakam video itu.
Lelaki yang dikenali sebagai Reza, 26, yang berasal dari perkampungan Sari Rejo, Daerah Medan Polonia nekad melakukan perbuatan itu selepas berang permintaannya tidak dipenuhi oleh ibu bapanya.
Menurut Ketua Polis Medan Baru, Kompol Yayang Rizki Pratama, bagaimanapun kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kecelakaan susulan rumah berkenaan tidak berpenghuni ketika ia dibakar.
"Tiada orang di rumah ketika Reza melakukan perbuatan berkenaan dan suspek kini telah ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.
Dalam kejadian itu, rumah berkenaan berjaya diselamatkan apabila orang ramai yang melihat kejadian itu turut membantu memadamkan kebakaran sebelum bomba tiba.
Yayang menjelaskan, daripada siasatan, ternyata Reza mengalami gangguan mental dipercayai akibat ketagihan dadah.
"Ibu bapa Reza langsung tidak membuat laporan polis kerana mengetahui keadaan mental anak mereka.
"Rumah itu memang telah dikosongkan oleh keluarganya dan hanya diduduki oleh Reza," kata Yayang. - Sumber Kompas.com
EmoticonEmoticon