Ahad, 5 Mei 2024

Jururawat bunuh ramai pesakit dengan suntikan maut dihukum penjara lebih 380 tahun


Seorang jururawat di Amerika Syarikat (AS) yang memberikan dos insulin membawa maut kepada ramai pesakit dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Khamis lalu, lapor akhbar Mirror UK pada 4 Mei 2024.


Heather Pressdee, 41, menerima tiga hukuman itu, di samping tambahan hukuman penjara antara 380 hingga 760 tahun. Keputusan itu disampaikan di sebuah mahkamah di Butler, utara Pittsburgh, Pennsylvania.


Pressdee dipercayai secara langsung menyebabkan sekurang-kurangnya 17 kematian pesakit di lima pusat kesihatan yang terletak di empat daerah berbeza, antara 2020 hingga 2023.


Dia mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pembunuhan. Mangsa dalam semua kes berumur antara 43 hingga 104 tahun.


Rakan sekerjanya mencatatkan tingkah laku tertuduh yang membimbangkan, dan memperincikan bahawa dia kerap menunjukkan penghinaan terhadap pesakitnya, serta secara terang-terangan membuat komen menghina kepada mereka.


Walaupun kemungkinan hukuman mati ada padanya, Pressdee turut mengaku bersalah atas 19 pertuduhan cubaan membunuh.


Pressdee pada mulanya didakwa pada Mei 2023 kerana menyebabkan kematian dua pesakit rumah jagaan dan mencederakan seorang lagi.


Siasatan lanjut dalam kes itu merungkai lebih banyak dakwaan kematian pesakit yang dikaitkan dengannya.


Sepanjang prosiding, Pressdee banyak berdiam diri, malah menjawab 'sepatah-sepatah' pertanyaan diajukan kepadanya.


"Kerana saya bersalah," jawab Pressdee dengan tegas ketika diasak oleh salah seorang peguam mengenai pengakuan bersalahnya.


Perbicaraan kes itu menyaksikan ramai mangsa ingin membentangkan kenyataan impak mereka. - Sumber Mirror UK.


Pendakwa raya berkata Heather Pressdee, 41, bekas jururawat, memberikan dos insulin yang tinggi kepada pesakit di lima pusat pemulihan di seluruh Pennsylvania antara 2020 dan 2023. - Foto CBS News Pittsburgh.


EmoticonEmoticon