Ahad, 12 Mei 2024

Dua lelaki maut elak tayar lori tercabut atas jalan


Akibat cuba mengelak tayar lori tertanggal, dua lelaki maut apabila motosikal dinaiki terbabas lalu terjunam ke dalam longkang dalam kejadian di Kilometer 7, Jalan Penampang-Kota Kinabalu, awal pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, kedua-dua mangsa yang berusia 17 dan 27 tahun itu disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.


Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan yang bergerak dari arah Penampang menuju ke Kota Kinabalu.


Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, tayar gantian lori komersil berkenaan dikatakan tertanggal dan jatuh di atas jalan.


"Ketika kejadian, dua motosikal yang bergerak dari arah sama cuba mengelak sehingga motosikal mangsa yang maut terjunam ke dalam longkang.


"Akibat kejadian itu, penunggang dan pembonceng motosikal itu mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.


Erwansyah berkata, mayat kedua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses bedah siasat bagi membantu siasatan.


Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


"Sehubungan itu, pihak polis memohon saksi kejadian supaya tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan lanjut," katanya.


Operasi mengeluarkan kedua mayat mangsa dijalankan oleh sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang.


Tayar gantian sebuah lori komersial yang tertanggal di tengah tengah jalan di Kilometer 7, Jalan Penampang ke Kota Kinabalu. - Foto Harian Metro.


EmoticonEmoticon