Jumaat, 31 Mei 2024

Cuaca panas ekstrem landa India, suhu cecah 52.3 darjah Celsius ragut puluhan nyawa


India kini dicengkam gelombang haba luar biasa ketika fenomena El Nino diramalkan beralih pada fasa neutral pada hujung pertengahan tahun ini.


Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa India bertindak mengeluarkan amaran kesihatan kerana bimbang keadaan itu berpotensi meragut nyawa.


Malah suhu di ibu negara India, New Delhi melonjak ke paras tertinggi sepanjang masa pada Rabu.


"Stesen cuaca Mungeshpur di Delhi pada Rabu merekodkan suhu maksimum 52.3 darjah Celsius. Ini adalah suhu maksimum tertinggi di Delhi setakat ini," kata pegawai di Jabatan Meteorologi India, Kuldeep Srivastava, lapor Agensi Anadolu.


Suhu tertinggi pernah direkodkan di Delhi ialah 45.6 darjah Celsius pada 29 April 1941.


Beberapa bandar lain di India pada Selasa turut mencatat suhu melebihi 49 darjah Celsius dengan Churu di negeri Rajasthan barat mencapai 50.5 darjah Celsius.


Jabatan Meteorologi India berkata, 'gelombang haba kepada keadaan gelombang haba teruk' dijangka berkurangan secara beransur-ansur di Barat Laut dan Tengah India mulai Khamis.


Gelombang haba telah menjejaskan perniagaan ternakan ayam di beberapa tempat, dengan ayam pedaging mati dalam suhu panas terik.


Disebabkan peningkatan suhu, Leftenan Gabenor New Delhi, Vinai Kumar Saxena pada Rabu menggesa kerajaan mengambil tindakan segera untuk melindungi buruh dengan peraturan seperti menyediakan air dan kawasan teduh di tapak pembinaan, selain cuti berbayar buat pekerja pada tengah hari hingga 3 petang.


Seorang anggota Pasukan Keselamatan Sempadan (BSF) yang bertugas di Rajasthan di sempadan India-Pakistan meninggal dunia akibat strok haba.


Gelombang haba telah meragut puluhan nyawa dalam beberapa hari kebelakangan ini di pelbagai bahagian di India.


India tidak asing dengan musim suhu panas melampau, namun penyelidikan saintifik dijalankan berulang kali mendapati perubahan iklim menyebabkan gelombang haba menjadi lebih lama, lebih kerap dan terik.


Seorang kakitangan hospital mencurah air di muka pesakit yang mengalami strok haba di hospital kerajaan di New Delhi. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon