Seorang warga emas tinggal dalam keadaan rumahnya menjadi 'gudang' sampah sarap sehingga menyebabkan gangguan, ketidakselesaan kepada kejiranan, mencemarkan pemandangan dan bau busuk.
Itulah yang terpaksa dilalui oleh penduduk di Permas Jaya, Johor Bahru disebabkan sikap seorang warga emas yang suka mengumpul sampah termasuk sisa makanan, timbunan plastik, kotak dan tin.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Baru Permas Jaya A, Habib Syed Sallilah Aasad berkata, lelaki itu yang hidup sebatang kara mengumpul sampah di dalam dan luar rumahnya tetapi bukan untuk dijual.
Katanya, sikap 'hoarder' itu menyebabkan jiran tetangganya tidak selesa apabila terpaksa sentiasa menutup pintu dan tingkap kerana tidak tahan dengan bau busuk dan nyamuk yang banyak.
Menurutnya, bau busuk yang datangnya dari timbunan sampah yang dikumpul warga emas itu boleh dihidu dalam jarak 200 meter, hingga menjejaskan sambutan perayaan Aidilfitri baru-baru ini.
"Keadaan bertambah rumit apabila lelaki itu berkeras untuk membersihkan rumahnya walaupun Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mahupun SWCorp menawarkan bantuan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan," katanya.
Menurut A Habib, selepas itu pihaknya memberikan tempoh untuk berbuat demikian namun masih gagal memberi kerjasama sebelum SWM Environment menjalankan kerja-kerja pembersihan.
"Pada 18 April lalu, SWM Environment melakukan satu operasi melibatkan lima pekerja menggunakan jentolak dan sebuah lori roll-on roll-off (RORO) 16 tan membersihkan 2,200 kilogram sisa atau 2.2 tan dari kediaman itu," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gerakan Belia 4B Negeri Johor, Mohd Khairul Azlan Sulong berkata, masyarakat perlu ada kesedaran terhadap kebersihan.
EmoticonEmoticon