Isnin, 29 April 2024

Wanita lintas jalan di lebuhraya sehingga akibatkan kemalangan maut disambung reman


Seorang wanita yang memberhentikan kenderaan dipandu sebelum melintas jalan sehingga mengakibatkan kemalangan maut di KM98.6 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah Timur di Temerloh pada 26 April lalu disambung reman, hari ini (Isnin).


Terdahulu, wanita berusia 35 tahun itu ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan memberitahu, tempoh tahanan reman disambung untuk melengkapkan siasatan.


"Hari ini baru sambung (reman), belum ada keputusan (tempoh tahanan)," katanya hari ini.


Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki berusia 34 tahun yang bertugas sebagai pemuzik di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya merempuh sebuah pikap jenis Mitsubishi Triton.


Menurutnya, tindakan wanita tersebut menyebabkan pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton terpaksa menekan brek secara mengejut.


Pada masa yang sama, mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki GSX-R1000 dari arah belakang gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kenderaan tersebut.


"Mangsa terjatuh di lorong laju, manakala motosikalnya tercampak ke bahagian belakang Mitsubishi Triton yang dirempuhnya," katanya.


Ujarnya, akibat kemalangan itu, mangsa yang parah di bahagian dada disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku sejurus pemandu kenderaan pacuan empat roda menekan brek mengejut selepas wanita yang memandu kenderaan jenis utiliti sukan berhenti di bahu kiri jalan sebelum melintas ke kanan laluan itu.


EmoticonEmoticon