Mahkamah menyifatkan perbuatan seorang wanita yang menyimbah air panas ke atas lelaki orang kurang upaya (OKU) Sindrom Down sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Perkara itu antara ditegaskan Hakim Mahkamah Sesyen Balik Pulau, Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin terhadap tertuduh, Oo Saw Kee, 39, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Saw Kee didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Solairaj Archudan, 33, menggunakan alat panas yang boleh menyebabkan kelecuran iaitu sebuah botol air yang mengandungi air panas.
Tegas beliau, apa dilakukan tertuduh amat serius dan mahkamah berkongsi sentimen dengan masyarakat yang menggambarkan kebencian terhadap tindakan wanita itu, lebih-lebih lagi tiada sebarang provokasi dibuat lelaki kurang upaya (OKU) terbabit.
"Mahkamah sudah tentu perlu mengambil kira kepentingan awam dan memberi peringatan agar perbuatan ini tidak diulangi mana-mana terutamanya kepada golongan istimewa.
"Masyarakat majmuk di Malaysia tidak membenarkan perbuatan seperti ini berlaku, oleh itu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM6,000, dan penjara 12 bulan jika denda tersebut tidak dibayar," katanya ketika prosiding, di Balik Pulau, hari ini.
Terdahulu, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu jualan mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah pada mangsa dengan menggunakan air panas.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu melakukan kesalahan berkenaan pada 19 April lalu di dalam sebuah lif pangsapuri I-Park, kira-kira jam 9.24 pagi.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda atau sebat jika sabit kesalahan.
EmoticonEmoticon