Sabtu, 6 April 2024

Senapang angin 'makan tuan' petani cedera tapak tangan tertembak sendiri


Senapang angin 'makan tuan' apabila tangan seorang petani cedera akibat tertembak sendiri dalam kejadian di kawasan ladang Kampung Mantanid, Tulid, Daerah Sook, Keningau pada Khamis lalu.


Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, lelaki berusia 34 tahun tersebut cedera pada tapak tangan kiri dan dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.


Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima laporan daripada unit kecemasan hospital memaklumkan terdapat pesakit yang dirujuk kepada mereka dengan kecederaan di tapak tangan akibat tertembak sendiri.


"Susulan itu, siasatan telah dilakukan dan mendapati lelaki tersebut keluar memburu tupai di kawasan ladang dengan menaiki motosikal sambil membawa senapang angin.


"Ketika berjalan kaki menuruni cerun berbukit, mangsa telah tergelincir dan menyebabkan picu senapang angin terganggu sehingga menyebabkan letupan dan terkena pada tapak tangan kirinya," katanya ketika dihubungi hari ini.


Katanya lagi, lelaki tersebut yang dalam kesakitan terpaksa berpatah balik ke arah motosikalnya. Dia kemudian pulang ke rumah.


"Ketika di hospital, peluru didapati tidak menembusi tapak tangan namun lelaki tersebut terpaksa menjalani pembedahan di hospital tersebut," katanya.


Yampil berkata lagi, lelaki tersebut terpaksa ditahan pada Jumaat, 5 April untuk disiasat di bawah 37 Akta Senjata Api 1960.


"Hasil siasatan lanjut, lelaki tersebut memaklumkan senapang angin itu dibeli di Indonesia pada tahun lalu dengan harga kira-kira RM250.


"Senapang tersebut turut dirampas bersama 83 butir palet senapang angin," katanya. - Sumber Sinar Harian.


Seorang petani cedera di tapak tangan kiri selepas tertembak senapang angin pada Khamis, 4 April 2024. Gambar diatas adalah senapang angin yang dirampas dalam satu serbuan di sebuah rumah pekerja ladang kelapa sawit di Semporna pada 5 Disember 2023 lalu.


EmoticonEmoticon