Satu kajian baharu meramalkan bahawa manusia akan pupus dalam masa 250 juta tahun lagi dan jauh lebih awal sekiranya aktiviti pembakaran bahan api fosil tidak dikekang, lapor portal berita Daily Mail.
Kajian berdasarkan simulasi komputer oleh pasukan saintis Universiti Bristol itu menyatakan, Bumi berdepan kepupusan sejagat yang juga akan menghapuskan semua hidupan mamalia.
"Paras karbon dioksida juga dijangka melonjak dua kali ganda berbanding sekarang. Manusia bersama spesies mamalia lain akan pupus disebabkan ketidakupayaan untuk mengeluarkan haba melalui peluh bagi menyejukkan badan," kata penyelidik kanan merangkap ketua kajian tersebut, Dr. Alexander Farnsworth.
Menurutnya, dalam masa 250 juta tahun lagi, semua benua di Bumi akan bercantum untuk membentuk sebuah benua 'super' dikenali sebagai Pangea Ultima.
Pangea Ultima hanyalah satu unjuran yang mungkin tentang rupa benua besar Bumi sebaik sahaja plat tektonik bergabung.
Walau apa pun penjajaran yang tepat, saintis pasti benua Bumi perlahan-lahan akan bergabung untuk membentuk satu jisim panas, kering dan sebahagian besarnya tidak boleh didiami.
Proses tektonik dalam kerak bumi yang menyatukan benua akan membawa kepada letusan gunung berapi yang lebih kerap, yang akan menghasilkan pelepasan besar karbon dioksida ke atmosfera, seterusnya memanaskan planet ini.
Hasil kajian turut mendapati hanya sekitar lapan hingga 16 peratus daripada tanah di Bumi sesuai untuk didiami spesies mamalia ketika itu, namun kebarangkalian besar bahawa semua spesies tersebut akan pupus.
"Hanya mamalia yang benar-benar unik berpotensi untuk terselamat," jelas Farnsworth, kajian itu diterbitkan dalam jurnal Nature Geoscience.
Ahli akademik itu berkata manusia mungkin boleh bertahan jika kita membina 'tempat perlindungan terkawal alam sekitar dengan penghawa dingin'.
"Tetapi kami mungkin perlu membina kemudahan lain untuk menempatkan pengeluaran makanan juga," katanya.
Satu lagi harapan untuk manusia ialah membentuk tamadun di planet lain dalam sistem suria lain, tetapi perkara itu pada masa ini hanya bahan fiksyen sains. - Sumber Daily Mail.
EmoticonEmoticon