Polis Indonesia menyaman seorang remaja bawah umur kerana memandu kenderaan tanpa lesen dan merempuh 10 motosikal serta sebuah kereta lain dalam berbilang kejadian pada satu malam, lapor portal berita Okezone pada 18 April 2024.
Remaja dikenali sebagai MH dan berumur 16 tahun itu melakukan kesalahan tersebut di Tarumajaya, Kabupaten Bekasi, wilayah Jawa Barat pada Selasa, 16 April.
Menurut Ketua Unit Kemalangan Trafik Polis Metro Bekasi, Inspektor Wandi Suwandhi, MH ketika itu keluar mencari makan dengan memandu kereta Toyota Yaris.
Ketika berada di kawasan Tarumajaya, dia melanggar sebuah motosikal.
Namun, ketika mahu keluar dari kereta untuk membantu penunggang motosikal tersebut, MH dikejar tiga remaja lain yang turut cuba merosakkan kenderaannya.
"Remaja itu ketakutan lalu masuk semula ke dalam kereta dan memandu pergi sambil dikejar oleh tiga remaja lain," kata Wandi.
Tambahnya, ketika memandu dengan tergesa-gesa, MH merempuh dua motosikal lain sebelum memandu ke arah sebuah hospital terdekat.
"Ketika berada di persimpangan lampu isyarat, MH merempuh dua lagi motosikal.
"Kemudian, dia mahu memasuki plaza Tol Becakayu sambil dikejar lima buah motosikal. Namun, disebabkan ketakutan, dia mengundur kereta lalu melanggar kelima-lima kenderaan itu," kata Wandi.
Akhir sekali, MH melanggar sebuah kereta Honda Brio di plaza tol yang sama ketika mahu melarikan diri sebelum kenderaan polis tiba.
MH kemudian ditahan sebelum ibu bapanya dipanggil ke balai polis. Wandi mengesahkan tiada kemalangan jiwa dalam kejadian itu.
Remaja itu dikenakan saman, manakala ibu dan bapanya berjanji akan membayar ganti rugi kepada semua kenderaan lain yang terlibat. - Sumber Okezone.
EmoticonEmoticon