Jumaat, 5 April 2024

Pencuri 'kreatif' menyamar jadi beg sampah


Seorang individu tidak dikenali sanggup menyamar sebagai beg sampah untuk mencuri bungkusan mel yang ditinggalkan di depan pintu sebuah kediaman, lapor stesen penyiaran FoxNews pada 4 April 2024.


Kejadian berlaku di luar rumah Omar Gabriel Munoz, di Sacramento County, negeri California pada 29 Mac lalu. 


Rakaman kamera pintu Munoz memaparkan pelaku sedang membongkok di bawah beg sampah kemudian menghampiri pintu hadapan dan mencuri bungkusan mel. 


Satu-satunya bahagian badan pelaku yang boleh dilihat adalah kakinya yang memakai sandal putih.


Bungkusan mel itu mempunyai dua pengecas iPhone yang dipesan secara online dan berharga AS$10 (RM47.24), kata Munoz kepada Fox News.


"Pada mulanya saya agak marah tetapi apabila saya melihat video itu sekali lagi saya ketawa kerana pelaku begitu kreatif," kata Munoz. 


Dia tidak melaporkan kecurian itu kepada polis kerana berpendapat bahawa 'pihak berkuasa mempunyai perkara lebih penting untuk diselesaikan'. - Sumber Fox News.


Rakaman kamera pintu Munoz memaparkan pelaku sedang membongkok di bawah beg sampah kemudian menghampiri pintu hadapan dan mencuri bungkusan. - Foto Omar Gabriel Munoz.


EmoticonEmoticon