Perbuatan pengusaha ladang ternakan babi di Kampung Bawang, Tamparuli, membuang najis haiwan itu ke sungai berhampiran ladang sejak beberapa tahun lalu menyebabkan air sungai itu tercemar.
Lebih mengejutkan, air sungai terbabit masih digunakan penduduk setempat, malahan mengalir di Loji Rawatan Air Telibong sebelum disalurkan kepada ribuan pengguna di Tuaran, Tamparuli dan Kota Kinabalu.
Tinjauan mendapati, air sungai berhampiran ladang ternakan babi itu bertukar warna menjadi kehijauan, selain berbau busuk meloyakan.
Penduduk, Amy James, 37, mendakwa, bukan hanya air sungai di Kampung Bawang terjejas teruk, malahan kualiti udara di kawasan perkampungan juga tercemar dengan bau busuk, setiap hari.
"Pelbagai usaha sudah penduduk lakukan termasuk melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa, namun ladang ternakan babi itu masih terus beroperasi.
"Apa yang berlaku sejak kewujudan ladang ternakan itu, sungai Kampung Bawang tercemar teruk oleh najis haiwan itu," katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, ada penduduk masih menggunakan air sungai tercemar itu terutama ketika cuaca panas ketika ini, apabila sumber air mereka mula mengecil.
Seorang lagi penduduk, Voyed Jibil, 38, mengakui tidak tahan lagi dengan kewujudan ladang ternakan babi itu, yang najisnya mencemarkan air sungai dan kualiti udara Kampung Bawang.
"Pengusaha ladang ternakan babi itu benar-benar tidak bertanggungjawab apabila sewenang-wenangnya membuang najis haiwan itu ke dalam sungai berhampiran.
"Pemilik ladang itu sedar perbuatan itu salah kerana mencemarkan sumber air Loji Rawatan Air Telibong, namun berpura-pura tidak tahu," katanya.
Sebelum ini, pencemaran itu didedahkan seorang pengguna media sosial yang memuat naik rakaman video menunjukkan aliran air berbau busuk dan kotor dari kolam takungan najis babi sebelum mengalir ke sungai berhampiran.
Berikutan itu, pasukan pegawai dari Jabatan Veterinar meninjau ladang ternakan babi itu untuk menyiasat dakwaan terbabit.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, pihaknya sangat prihatin dengan aduan pencemaran sungai daripada ladang ternakan babi yang dilaporkan berlaku di Tamparuli.
"Saya menyokong penuh siasatan dijalankan dan berharap satu penyelesaian segera dapat dilaksanakan," katanya.
Tambah beliau, pusat khidmat Parlimen Tuaran bersama-sama pihak berkuasa sudah membuat pemeriksaan di sungai dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan lanjut. - Sumber Harian Metro.
EmoticonEmoticon