Isnin, 29 April 2024

Lelaki langgar, tikam penunggang curi basikal kesayangannya


Berang terlihat basikalnya yang baru dicuri ditunggang orang tidak dikenali, seorang lelaki bertindak menikam penunggang basikal itu dari belakang, lapor akhbar Mirror UK pada 27 April 2024.


Reece Lowndes, 23, bengang apabila dia melihat James Gregory menunggang basikalnya di St Helens, lalu bertindak menendang dan menikam mangsa.


Sebelum kejadian tikaman itu, mangsa dirempuh dengan kereta BMW 1 Series hitam milik Lowndes dari arah belakang.


Ketika rempuhan, kereta Lowndes itu dipandu rakannya Connor Richards yang dirujuk sebagai defendan bersama manakala Lowndes di tempat duduk penumpang hadapan.


Mahkamah Liverpool Crown pada Jumaat diberitahu, berdasarkan rakaman dari kawasan berhampiran kejadian kira-kira jam 4 petang 12 September tahun lalu itu, selepas mangsa dirempuh kereta dan semasa kenderaan itu masih bergerak, Lowndes melompat keluar dari keretanya dan terus menendang mangsa.


Lowndes dari Chiltern Road itu kemudian menikam James ketika mangsa terbaring tidak berdaya, lapor Liverpool Echo.


Pendakwa Raya Stella Hayden, menggambarkan bagaimana Lowndes mendekati pengadu (mangsa) dan segera melancarkan sepakan kuat yang menjatuhkan mangsanya ke lantai jalan.


Selepas itu, Lowndes mula memberi tendangan dan tumbukan ke atas James sebelum menikamnya dari belakang.


Hakim Anil Murray menjatuhi hukuman penjara selama 33 bulan terhadap Lowndes selepas tertuduh mengaku mencederakan dan memiliki senjata dalam serangan di tempat awam.


Richards sebagai defendan bersama, yang tidak pernah disabitkan kesalahan sebelum ini juga sepatutnya mengetahui nasibnya serentak keputusan terhadap Lowndes, tetapi kesnya ditangguhkan untuk mendapatkan laporan lanjut sebelum hukuman ditetapkan.


Dia akan dibawa semula ke mahkamah pada 17 Mei, dibebaskan dengan ikat jamin selepas turut mengaku bersalah melakukan kecederaan parah. - Sumber Mirror UK.


Reece Lowndes dijatuhi hukuman 33 bulan. - Foto Liverpool Echo.


EmoticonEmoticon