Isnin, 1 April 2024

Janda kena tipu, wang mas kahwin bertukar jadi daun


Seorang wanita dari Bima, wilayah Nusa Tenggara Barat di Indonesia terkejut apabila mendapati beg mengandungi 'mas kahwin' yang diserahkan kepadanya sebenarnya hanya daun kering, lapor laman berita Detik pada 1 April 2024.


Rosdiana, 38, sebelum itu dilamar oleh lelaki bernama Syamsurizal, 60, pada Jumaat lalu (29/3/2024).


Kejadian bermula apabila dua lelaki berkunjung ke rumah Rosdiana di Kampung Ragi, petang Jumaat. Salah seorang daripada mereka ialah Syamsurizal yang mengaku warga Kecamatan Kempo, Kabupaten Dompu.


Janda anak tiga itu pada asalnya enggan menerima lamaran Syamsurizal disebabkan faktor umur lelaki tersebut yang agak berusia, namun dia akur selepas diyakini oleh seorang sahabatnya.


"Syamsurizal melamar Rosdiana dengan membawa mas kahwin sebanyak 1.7 bilion rupiah (RM505,271). Niat baik itu diterima oleh Rosdiana dan keluarganya.


"Setelah bersetuju, Syamsurizal meminta agar beg pakaian dan kotak mee segera yang mengandungi wang mas kahwin tersebut tidak dibuka sebelum Rosdiana sah menjadi isterinya," kata pegawai Ketua Kampung Ragi, M Nur.


Tambahnya lagi, lelaki tersebut juga sempat menunjukkan wang sebanyak 100,000 rupiah (RM29.72) di dalam kotak itu bagi meyakinkan Rosdiana.


"Ramai saksi yang melihat wang itu adalah asli. Namun, kami diminta untuk tidak membuka semuanya sebelum saya sah menjadi isteri Syamsurizal," kata Rosdiana.


Ujar Rosdiana, disebabkan berasa aneh, dia dan keluarganya akhirnya membuka kotak wang tersebut sebelum pernikahan mereka yang dirancang selepas Aidilfitri nanti.


Namun, mereka terkejut apabila mendapati kotak dan beg pakaian tersebut hanya berisi daun kering.


Rosdiana mengakui sudah dua kali didatangi lelaki berusia 60 tahun itu. Dia bertemu Syamsurizal selepas dijodohkan oleh Arifuddin, seseorang yang sudah lama dikenalinya.


Pada mulanya Rosdiana menolak kerana Syamsurizal sudah tua. Secara beransur-ansur, dia benar-benar cair dan menerimanya.


"Arifuddin terus meyakinkan saya bahawa lelaki yang akan mengahwini saya itu sangat kaya, banyak wang dan banyak kereta. Saya mengiyakan dan menerima saja," kata Rosdiana, pada Ahad (31/3/2024). - Sumber Detik News.


Duit mas kahwin di dalam kotak bertukar menjadi daun. - Foto Tangkap layar/Viva.


EmoticonEmoticon