Seorang hartawan terkenal Vietnam dijatuhi hukuman mati semalam dalam satu daripada kes penipuan bank terbesar dalam sejarah dengan anggaran ganti rugi bernilai AS$27 bilion (RM128.19 bilion), lapor BBC News pada 11 April 2024.
Panel tiga juri dan dua hakim menolak semua hujah pembelaan pengerusi pemaju utama Van Thinh Phat iaitu Truong My Lan, 67, yang didapati bersalah menipu wang tunai dalam bentuk pinjaman daripada Bank Komersial Saigon dalam tempoh 11 tahun.
Pihak berkuasa komunis yang lazimnya berahsia tidak berterus-terang mengenai kes ini, menjelaskan secara terperinci kepada media. Mereka berkata 2,700 orang telah dipanggil untuk memberi keterangan, manakala 10 pendakwa raya negeri dan sekitar 200 peguam terlibat.
Barang bukti itu terdapat dalam 104 kotak seberat enam tan. Lapan puluh lima yang lain telah dibicarakan dengan Truong My Lan, yang menafikan pertuduhan dan boleh merayu.
Kesemua defendan didapati bersalah. Empat menerima hukuman penjara seumur hidup. Selebihnya dikenakan hukuman penjara antara 20 tahun hingga tiga tahun. Suami dan anak saudara Truong My Lan masing-masing menerima hukuman penjara sembilan dan 17 tahun.
"Tindakan defendan menghakis kepercayaan orang ramai terhadap kepimpinan parti (Komunis) dan negeri," menurut keputusan selepas perbicaraan selama lima minggu di hab perniagaan selatan Ho Chi Minh City.
Lan menafikan tuduhan itu dan menyalahkan orang bawahannya. Ada yang percaya hukuman mati adalah cara mahkamah cuba menggalakkan dia memulangkan beberapa bilion yang hilang.
Lan menggelapkan AS$12.5 bilion (RM59.34 bilion), namun pendakwa raya hari ini berkata, jumlah kerosakan yang disebabkan oleh penipuan itu kini berjumlah AS$27 bilion (RM128.19 bilion), angka yang bersamaan enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK 2023) negara.
Hukuman mati adalah hukuman yang luar biasa dijatuhkan dalam kes sedemikian. Penahanan Lan dan beberapa individu adalah sebahagian daripada tindakan membanteras rasuah di negara itu.
Ramai pegawai dan ahli elit perniagaan Vietnam disiasat berhubung rasuah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Lan dalam ucapan terakhir kepada mahkamah minggu lalu berkata, dia terfikir untuk membunuh diri.
"Dalam keadaan terdesak, saya terfikir mengenai kematian.
"Saya sangat marah kerana cukup bodoh untuk membabitkan diri dalam persekitaran perniagaan yang sangat sengit, sektor perbankan, yang saya kurang mengetahuinya," katanya, memetik laporan media kerajaan. - Sumber BBC News.
EmoticonEmoticon