Selasa, 2 April 2024

Budak 9 tahun pandu kereta ke sekolah, rempuh kereta polis selepas dikejar


Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun di Amerika Syarikat bertindak berani apabila nekad memandu kereta ibunya ke sekolah, namun akhirnya merempuh kereta peronda polis, lapor New York Post pada 28 Mac 2024.


Sikap tidak sabar budak lelaki itu yang tergesa-gesa mahu ke sekolah membawa padah apabila anggota Peronda Lebuh Raya California (CHP) melihat kereta sedan Volkswagen yang dipandunya berhenti di tengah-tengah persimpangan kira-kira 9:20 pagi (waktu tempatan) pada Rabu lalu.


"Apabila kami mengarahkan ia beredar dari situ, ia memecut secara tiba-tiba dan berlakulah adegan kejar mengejar singkat yang berakhir di lot parkir di bahagian timur Plumas Avenue Elementary School.


"Ia kemudiannya merempuh kenderaan peronda kami ketika cuba berundur. Mujur tiada siapa yang cedera dan hanya kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan kecil," jelas CHP menerusi catatan di Facebook.


Tetapi, anggota pihak berkuasa berkenaan terkejut apabila mendapati pemandu tersebut adalah kanak-kanak yang mahu memandu sendiri ke sekolah tanpa pengetahuan keluarganya.


Menurutnya, budak itu selamat dihantar ke sekolah dan kejadian tersebut turut direkodkan.


"Saya melihat 'kepala kecil' di dalam kereta itu selepas kenderaan kami dirempuh dan ia bukan sosok fizikal yang biasa," kata anggota yang menyaksikan insiden itu, Terry Dunn.


Sementara itu, nenek kanak-kanak itu pada mulanya menyangka cucunya telah diculik dan dia sendiri seakan tidak percaya dengan 'kebolehan memandu' budak berkenaan.


"Kami telah memberi peringatan kepadanya dan dia telah berulang kali memohon maaf atas perbuatannya," katanya. - Sumber New York Post.


Kedua-dua kenderaan itu hanya mengalami kerosakan kecil. - Foto CHP Oroville.


EmoticonEmoticon