Rabu, 10 April 2024

Ahli perniagaan diculik ketika leka bermain golf dengan tiga wanita


Sebuah mahkamah di United Kingdom baru-baru ini diberitahu bahawa seorang ahli perniagaan diculik dari padang golf dan dimasukkan ke dalam kurungan oleh geng yang menuntut wang tebusan berjumlah 12 juta euro (kira-kira RM61.8 juta), lapor Portal The Sun UK pada 8 April.


Dylan Huang sedang bermain golf dengan tiga wanita apabila lima lelaki berlari ke arah mereka, pada 30 Oktober 2023 lalu. Pistol diacukan ke arahnya, sebelum dia dipukul di muka dan dipaksa masuk ke dalam kereta Audi Q7.


Geng itu juga menyembur sesuatu di muka tiga wanita lain, pada kejadian di Brocket Hall, Herts itu.


Pendakwa Raya Russell Pyne memberitahu mahkamah St Albans, England: "Huang menendang pintu kereta dan diberitahu dia akan dibunuh dengan pisau."


Huang, dalam lingkungan 30-an, telah diikat dan dibawa ke sebuah hartanah di Surrey, kemudian dimasukkan ke dalam kurungan.


Pyne berkata, Huang ditanya bagaimana wang tebusan akan dibayar dan geng penculik itu mahukan AS$15 juta dalam bentuk Bitcoin.


Mangsa berkata, dia mempunyai saham tetapi ia tidak dapat diakses sepenuhnya.


"Dia bercakap dengan isterinya dan berbual dengan tiga rakan untuk mendapatkan pinjaman.


"Selepas beberapa jam nampaknya penculik itu mula marah. Mereka mula mencederakannya, memukul kakinya dengan sejenis objek," katanya.


Mahkamah diberitahu, pengalaman pahit selama 30 jam itu berakhir secara tiba-tiba apabila dia dibebaskan berhampiran Cobham.


Dia mengetuk pintu rumah orang yang tidak dikenali dan memberi lelaki itu 100 euro untuk menaiki Uber, sebelum dia dihantar ke rumahnya di London Utara.


Susulan kejadian, Tianfu Guo, 35, didakwa di mahkamah dengan pertuduhan konspirasi untuk menculik, memeras ugut dan memiliki senjata api tiruan pada Oktober lalu.


Bagaimanapun, lelaki itu menafikan semua tuduhan berkenaan. Enam lagi suspek dipercayai masih berada di China. - Sumber The Sun UK.


Lelaki itu diculik ketika bermaian golf di Brocket Hall, Herts, dekat London. - Foto Paul Edwards/The Sun.


EmoticonEmoticon