Jumaat, 8 Mac 2024

Tikam, kelar leher rakan kerana hutang RM30


Gara-gara hutang RM30, seorang lelaki di bawah pengaruh dadah tergamak menikam rakannya ketika datang ke rumah mangsa di Sungai Way, Petaling Jaya, pada Rabu.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, kejadian berlaku pada jam 12.15 tengah malam apabila suspek berusia lingkungan 20-an itu datang ke rumah mangsa untuk menuntut hutang.


Menurutnya, berlaku pergelutan semasa kejadian sebelum suspek mengeluarkan pisau dan menikam dada kiri serta mengelar leher mangsa.


"Mangsa menjerit kesakitan dan lari masuk ke dalam rumah meminta bantuan rakan serumah.


"Kejadian berlaku apabila suspek yang tidak berpuas hati kerana mangsa enggan membayar baki hutang RM30 menyebabkan dia marah sebelum bertindak di luar kawalan menikam mangsa," katanya hari ini.


Shahrulnizam berkata, susulan itu polis menahan suspek pada jam 1 pagi kelmarin di rumahnya yang terletak tidak jauh dari rumah mangsa.


"Mangsa dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dalam keadaan stabil. Luka kecederaan juga sudah dijahit.


"Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah syabu dan dia direman sehingga 12 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.


Seorang lelaki yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah bertindak menikam rakannya kerana hutang RM30. - Foto Sinar Harian.


EmoticonEmoticon