Kerana mahu kelihatan jelita seperti pelakon terkenal, seorang remaja berusia 18 tahun di China membelanjakan AS$563,000 (kira-kira RM2.6 juta) bagi melakukan pembedahan plastik sejak lima tahun lalu.
Zhou Chuna dari wilayah Zhejiang, timur China dikatakan obses dengan pembedahan plastik sejak berusia 13 tahun kerana mahu secantik artis kegemarannya, Esther Yu dan mengimpikan menjadi terkenal.
Kisahnya menjadi bualan di media sosial negara itu dengan laporan South China Morning Post (SCMP) yang memetik Toutiao News menyebut, Zhou sudah menjalani lebih 100 pembedahan yang mana kosnya ditanggung ibu bapa.
Sejak zaman persekolahannya, dia tertekan mengenai penampilan diri dan berasa tidak selesa apabila saudara-mara dan rakan mengatakan dia tidak kelihatan seperti ibunya yang cantik.
Kemudian, apabila Zhou belajar di sekolah antarabangsa di Shanghai, dia percaya rakan sekelasnya lebih cantik berbanding dirinya.
Dia berasa rendah diri dan cemburu terhadap mereka sehingga bertekad untuk mengubah rupa, serta atas kebenaran ibunya, pembedahan plastik pertama dibuat adalah prosedur kelopak mata ketika berusia 13 tahun.
Sejak itu, Zhou menjadi taksub untuk mengubah penampilannya, malah berhenti sekolah untuk meneruskan prosedur kecantikan lain.
"Saya sudah menjalani hampir semua pembedahan plastik yang boleh anda fikirkan, antaranya termasuk rhinoplasty dan kikis tulang," katanya.
Zhou turut mengakui mengabaikan amaran doktornya yang melarang melakukan apa-apa lagi pembedahan membesarkan mata kerana sudah menjalani 10 prosedur sebelum ini.
Pembedahan yang paling menyakitkan pernah dialami Zhou ialah mengikis tulang, yang katanya, berlangsung lebih 10 jam dan dia terpaksa berbaring di katil selama 15 hari dan hanya makan menerusi tiub.
"Adakah saya takut? Sudah tentu, tetapi saya mesti melakukannya," kata Zhou.
Ketika itu katanya, tiada doktor yang sanggup melakukan pembedahan kedua, jadi dia terpaksa mencari doktor baharu setiap kali mahu melakukan pembedahan berikutnya.
Zhou sudah mengunjungi semua hospital pembedahan plastik di Shanghai.
"Kawan-kawan saya sudah tidak lagi mengenali saya," katanya.
Difahamkan ibunya tidak mahu lagi menanggung kegilaan Zhou dan bapanya tidak menerima wajah baharu remaja itu.
"Apabila rakan mereka bertanya sama ada saya adalah anak mereka, ibu bapa saya tidak mengakuinya," katanya.
Dakwa Zhou semua pembedahan itu membantunya menjadi lebih berkeyakinan dan membantunya mengejar impian menjadi bintang. - Sumber South China Morning Post.
EmoticonEmoticon