Sabtu, 30 Mac 2024

Pelancong bergaduh rebut lokasi terbaik merakam swafoto


Sekumpulan pelancong bergaduh pada ketinggian 4,572 meter di sebuah kawasan pergunungan bersalji di Lijiang, China kerana mahu mendapatkan tempat terbaik untuk merakam swafoto, lapor portal berita Daily Mirror pada 26 Mac 2024.


Klip video kejadian menunjukkan beberapa pelancong dewasa menolak antara satu sama lain di atas dek pemandangan di Gunung Salji Naga Jed pada Ahad lalu.


Mereka yang menerobos ke lokasi terbaik merakam swafoto kelihatan tidak peduli jika mereka secara tidak sengaja terlanggar seseorang, atau menyebabkan mereka terjatuh dari pelantar tinggi itu.


Berpuluh-puluh orang yang sedang menunggu berada dalam barisan cuba mengelak daripada ditumbuk dalam kejadian tersebut.


Menurut media tempatan, kejadian bermula apabila seorang lelaki dan seorang wanita bergaduh dengan wanita lain.


Beberapa pengunjung cuba untuk campur tangan tetapi mereka yang bergaduh tidak mahu beredar dari tempat pilihan untuk berswafoto. 


Pergaduhan berterusan sehingga anggota-anggota keselamatan yang ditempatkan di sekitar lokasi indah itu terpaksa menyuraikan mereka.


Polis berkata, mereka yang terlibat dalam pergaduhan tersebut telah berdamai.


Insiden itu mendapat reaksi berbeza di laman web media sosial China Weibo, dengan beberapa orang mengkritik mereka yang bergaduh manakala yang lain mempersendakan keadaan itu.


Seorang pengguna berkata: "Ia terlalu memalukan bagi orang yang mempunyai wang dan masa lapang."


Manakala seorang lagi berkata: "Mereka telah membuat temu janji untuk bertanding di Puncak Naga Jade."


Seorang lagi menambah: "Atur supaya mereka pergi ke Himalaya untuk menjaga sempadan negara." - Sumber Daily Mirror.


Beberapa orang bergaduh bagi merebut tempat berswafoto di Gunung Salji Naga Jed, Ahad lalu. - Foto Weibo.


EmoticonEmoticon