Jumaat, 29 Mac 2024

Dua pegawai bank jual akaun bank dan kad ATM kepada sindiket 'scam' ditahan


Kejahatan dua pegawai bank bersekongkol dalam sindiket pembelian dan penjualan akaun bank bagi tujuan aktiviti 'scam' sejak enam bulan lalu terbongkar selepas ditahan polis, baru-baru ini.


Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, 16 individu yang berusia 20-an hingga 30-an itu ditahan menerusi serbuan di beberapa lokasi di sekitar Gombak antara 20 Mac hingga 22 Mac lalu.


Katanya, individu yang ditahan terdiri daripada 15 warga tempatan termasuk empat wanita serta seorang wanita Nigeria.


"Hasil daripada siasatan mendedahkan ada dalam kalangan tangkapan berperanan sebagai 'collector' kad bank, 'runner' yang mencari individu yang mahu membuka akaun serta orang tengah antara sindiket dengan pegawai bank tempatan.


"Hasil tangkapan, polis merampas sebanyak 31 unit telefon bimbit, 30 keping kad ATM pelbagai bank, satu unit mesin pencetak, satu unit komputer riba dan satu fail mengandungi pelbagai dokumen.


"Hasil semakan mendapati suspek warga tempatan dipercayai dalang sindiket mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) pada 2021," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.


Beliau berkata, sindiket dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dan menawarkan secara 'one off' antara RM500 hingga RM1,500 kepada individu yang membuka akaun dan menjualnya kepada mereka.


Katanya, akaun bank dan kad ATM yang dibeli kemudian disewakan atau dijual kepada sindiket yang melakukan kegiatan penipuan di seluruh negara untuk penerimaan wang hasil penipuan.


"Siasatan terhadap dua pegawai bank bekerja sebagai Mobile Deposit Specialist (MDS) mendapati mereka berbuat sedemikian bagi mencapai KPI yang ditetapkan.


"Mereka bertindak menerima pendaftaran akaun bank daripada individu tanpa membuat semakan menyeluruh. Hasil siasatan dapati sebanyak 40 akaun sudah dibuka oleh dua pegawai bank itu," katanya.


Hussein berkata, polis juga mengenalpasti lima akaun bank yang dikesan semasa serbuan terbabit dalam 15 kes penipuan atas talian membabitkan kerugian RM2.3 juta di seluruh Malaysia.


Menurutnya, kesemua transaksi berlaku di antara Februari sehingga Mac lalu. Tambahnya, polis akan turut memanggil pemilik akaun yang terbabit untuk siasatan lanjut.


Beliau menegaskan, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada pegawai bank lain yang bersubahat dengan sindiket tersebut dan usaha memburu suspek lain sedang giat dilakukan polis.


"Kesemua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KPJ) dengan kes disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan," katanya.


Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan tawaran yang diberi oleh sindiket ini untuk menyewa dan menyerahkan akaun bank dan kad ATM dengan bayaran yang lumayan yang diiklankan di media sosial.


Hussein (tengah) menunjukkan kad bank yang dirampas ketika sidang media berkaitan kejayaan anggota polis menumpaskan sindiket jual beli akaun bank dan pengedaran kad ATM untuk tujuan penipuan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini. - Foto Bernama.


EmoticonEmoticon