Isnin, 25 Mac 2024

Dua beradik ubah suai kereta jadi 'helikopter'


Polis India merampas sebuah projek kereta buatan sendiri atau DIY daripada dua beradik yang mengubah suai kereta kecil jenis Suzuki mereka menyamai helikopter, dalam usaha menjana wang dengan menyewakannya untuk majlis perkahwinan.


Ishwardin, 36, dan Parmeshwardin Prajapati, 37, membelanjakan hampir AS$3,000 (RM14,212) untuk memasang bilah pemutar kecil pada bumbung kereta dan membuat membentuk kepingan logam menyerupai bahagian belakang helikopter.


Media tempatan melaporkan, pengubahsuaian besar itu mengambil masa beberapa minggu di sebuah bengkel di Uttar Pradesh, negeri di utara India.


Dua beradik itu merancang untuk mengenakan bayaran 5,000 rupee (RM284) sehari kepada pasangan yang akan berkahwin dan inginkan cara pengangkutan unik lagi tersendiri pada hari perkahwinan mereka.


"Saya menukar kereta itu untuk digunakan bagi tempahan ketika musim perkahwinan supaya keluarga kami dapat memperoleh wang tambahan," kata Ishwardin yang dipetik Economic Times.


Bagaimanapun, rancangan mereka tergendala apabila polis trafik merampas kenderaan itu pada Rabu, apabila mereka melihatnya berhampiran perhentian bas Akbarpur ketika ia sedang dibawa untuk dicat.


India Today melaporkan, kenderaan itu disita kerana tidak mematuhi peraturan jalan raya dan menjalani pengubahsuaian yang tidak dibenarkan.


Adik beradik itu membayar denda sebanyak 2,000 rupee (RM114) dan kereta itu dikembalikan kepada mereka dengan syarat mereka menanggalkan ubah suai yang dipasang padanya.


Dalam sebuah video tular, penduduk dilihat berkumpul untuk melihat kereta luar biasa itu yang diletakkan di luar balai polis selepas ia dirampas. - Sumber India Today.


Kereta yang diubah suai menyerupai helikopter oleh adik-beradik dari Uttar Pradesh, India. - Foto Agensi.


EmoticonEmoticon