Sabtu, 23 Mac 2024

Doktor keluarkan belut hidup dari perut pesakit


Sekumpulan doktor berjaya menyelamatkan seorang lelaki apabila mengeluarkan seekor belut hidup sepanjang 30 sentimeter (cm) dari perutnya, lapor laman berita Oddity Central pada 21 Mac 2024.


Pada 20 Mac lalu, seorang lelaki berusia 34 tahun dimasukkan ke Pusat Perubatan Daerah Hai Ha di Wilayah Quang Ninh, Vietnam selepas mengalami sakit perut yang teruk.


Selepas menjalani imbasan X-ray dan ultra bunyi, doktor berjaya mengesan 'benda asing' dalam perutnya.


Doktor memutuskan bahawa tindakan terbaik adalah menjalankan pembedahan, membuang objek yang mencurigakan, dan cuba mengurangkan kerosakan pada usus lelaki itu.


Selepas membuka perut pesakit, doktor terkejut apabila mendapati objek asing itu adalah belut hidup sepanjang 30 cm.


Mujurlah, selepas pembedahan itu pesakit dilaporkan stabil dan dibenarkan pulang beberapa hari kemudian.


Ketika ditanya bagaimana belut itu memasuki perutnya, lelaki itu tidak dapat memberikan jawapannya, tetapi doktor percaya bahawa haiwan itu masuk dari dubur ke kolon pesakit, menggigit usus dan masuk bahagian perut.


Bagaimanapun, perkara yang masih mengejutkan kakitangan hospital adalah bagaimana belut itu masih hidup dalam badan lelaki itu sehingga dibedah doktor. - Sumber Oddity Central.


Seekor belut berjaya dikeluarkan dari perut seorang lelaki di Vietnam. - Foto Oddity Central.


EmoticonEmoticon