Isnin, 11 Mac 2024

Akibat terdesak, dua wanita angkut mayat ke bank untuk keluarkan wang


Dua wanita di Amerika Syarikat (AS) berdepan pertuduhan bagi kes kecurian pelik selepas didakwa membawa mayat lelaki ke bank untuk mengeluarkan AS$900 (kira-kira RM4,216) daripada akaun mangsa.


Menurut lapor New York Post pada 8 Mac 2024, Loreen Bea Feralo, 55, dan Karen Casbohm, 63, didakwa pada 4 Mac lalu kerana membawa mayat Douglas Layman, 80, ke laluan pandu masuk bank di bandar Ashtabula di Ohio.


Selepas mengeluarkan wang, wanita itu menurunkan mayat itu di bilik kecemasan di Pusat Perubatan Daerah Ashtabula.


Salah seorang wanita menghubungi hospital beberapa jam kemudian dan memberikan beberapa maklumat peribadi mengenai Layman sebelum pihak berkuasa mengenal pastinya, kata Ketua Polis Ashtabula Robert Stell pada 7 Mac, menurut Fox News.


Pegawai kemudian bercakap dengan dua wanita itu, yang mengatakan Layman sudah meninggal dunia di rumahnya di Ashtabula, pada hari kejadian.


Punca kematian Layman belum diketahui, dan pegawai memaklumkan bedah siasat untuk menentukan kematiannya mungkin mengambil masa lapan bulan.


Suspek dipercayai tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Layman tetapi tinggal bersama lelaki itu.


Mereka dipercayai memindahkan mayat lelaki itu ke dalam kenderaan dengan bantuan individu ketiga yang tidak disebutkan namanya.


Ketua Stell berkata, mayat Layman diletakkan di tempat duduk hadapan kenderaan supaya kakitangan bank dapat melihatnya untuk membuat pengeluaran wang.


AP pula melaporkan bahawa wanita itu terdorong untuk melakukan perbuatan berkenaan kerana terdesak untuk membayar tunggakan bil.


Polis Ohio memaklumkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kes itu. Kedua-dua wanita itu boleh berdepan hukuman penjara sehingga setahun bagi kesalahan itu.


Dalam pada itu, New York Post melaporkan Feralo dan Casbohm mempunyai rekod lampau kerana pernah disabitkan dengan kesalahan memiliki dadah, menceroboh dan mencuri. - Sumber New York Post


Loreen Bea Feralo (kiri) dan Karen Casbohm. - Foto Polis Ashtabula.


EmoticonEmoticon