Ahad, 4 Februari 2024

Warga emas dihalau anak selepas serah hak milik rumah


Sepasang suami isteri di China diusir oleh anak lelaki mereka selepas menandatangani surat penyerahan hak milik rumah kepada cucu sendiri, lapor portal berita South China Morning Post pada 31 Januari 2024.


Jin, 86, menyesali keputusannya apabila terpaksa menyewa selepas dia dan isterinya, juga berusia lapan puluhan, dihalau oleh anak lelaki dan menantunya.


Mereka tinggal di sebuah rumah pangsa sejak tahun 1990-an. Kediaman itu diberikan oleh sebuah universiti tempat Jin bekerja. Rumah itu kini bernilai 1.05 juta yuan (RM698,454).


Beberapa tahun lalu ketika dia masih lemah selepas menjalani pembedahan, anak lelaki dan menantu Jin mula meminta dia menyerahkan rumah itu kepada anak lelaki mereka yang juga cucunya.


"Mereka sebenarnya tidak membayar satu sen pun. Hak milik rumah itu jatuh atas nama cucu saya," kata Jin.


Mimpi ngeri Jin bermula pada tahun lepas apabila anaknya memberitahu bahawa dia akan menjual rumah itu untuk membeli sebuah vila. Apabila Jin cuba menghalangnya, dia dimaki hamun oleh anaknya.


Pasangan warga emas yang tidak berdaya itu terpaksa tidur di atas lantai yang sejuk dan keras di luar rumah pangsa tersebut apabila mereka tidak dibenarkan masuk oleh anak lelaki dan menantunya.


"Cucu anda mengatakan ia adalah flatnya, jadi anda tidak mempunyai hak untuk menggunakannya," kata mereka.


Keadaan yang tertekan itu menyebabkan Jin rebah dan dibawa ke hospital. Apabila isterinya bertanya kepada anak lelaki mereka sama ada dia boleh berehat di flat itu, dia enggan membuka pintu.


Pasangan itu dilaporkan terpaksa tinggal menyewa sementara mendapatkan nasihat undang-undang untuk cuba mendapatkan rumah mereka semula. - Sumber South China Morning Post.


Pasangan itu kini terpaksa menyewa. - Foto Baidu.


EmoticonEmoticon