Wanita yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta berkunci di kawasan parkir hadapan Klinik Pakar, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh semalam dipercayai tertidur setelah penat menjaga bapanya di wad hospital tersebut.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, wanita tersebut dipercayai memasuki kereta berkenaan yang diletakkan di tempat letak kenderaan HRPB untuk berehat namun tidak membuka cermin.
"Siasatan awal mendapati satu perempuan India ditemui dalam keadaan terbaring di tempat duduk belakang kereta. Dengan bantuan dari pihak bomba dan penyelamat, pintu telah berjaya dibuka dan pemeriksaan oleh pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia.
"Hasil siasatan mendapati si mati menjaga bapa yang sakit di wad HRPB dan dipercayai masuk ke dalam kereta untuk berehat tanpa membuka cermin kereta," katanya hari ini.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu bedah siasat.
Menurut Yahaya, semalam pihaknya telah menerima maklumat daripada pengawal keselamatan yang memaklumkan telah nampak seorang perempuan tidak sedarkan diri dan disyaki meninggal dunia di dalam sebuah kereta di parkir HRPB.
"Pihak polis ingin menasihatkan orang awam agar tidak mengamalkan tabiat tidur dalam kenderaan kerana sekiranya enjin kenderaan dimatikan, sistem pengudaraan tidak berfungsi atau ketiadaan oksigen boleh menyebabkan kematian secara tiba-tiba," katanya.
Semalam, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa berusia 20 tahun itu diberi rawatan awal oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia.
EmoticonEmoticon