Rabu, 14 Februari 2024

Telur dari 1,700 tahun lalu didapati masih mengandungi cecair


Sebiji telur dari zaman Rom yang dijumpai beberapa tahun lalu di bandar Aylesbury, England didapati masih mengandungi cecair, lapor laman berita The Guardian pada 12 Februari 2024.


Pengurus ekskavasi di Oxford Archaeology, Edward Biddulph mengesahkan perkara berkenaan dan beliau yakin bahawa ia putih telur dan kuning telur yang telah bergabung membentuk satu cecair.


Imbasan tomografi berkomputer (CT scan) menunjukkan terdapat cecair beserta gelembung udara.



Imbasan itu dilakukan beberapa bulan lalu untuk menjelaskan bagaimana telur kemungkinan dari ayam boleh diawetkan dengan baik.


Telur itu dilaporkan dijumpai di dalam lubang berisi air dan mungkin digunakan untuk tujuan keagamaan antara 270 dan 300 Masihi. Telur lain yang turut ditemukan di lokasi sama, pecah selepas terdedah kepada udara.


Perbincangan telah diadakan pada tahun lepas tentang cara mempamerkan telur apabila Dana Goodburn-Brown, seorang konservator arkeologi dan saintis bahan, mencadangkan mereka mengimbasnya untuk membantu memutuskan cara terbaik untuk memeliharanya.



Biddulph berkata: "Telur itu ternyata lebih menakjubkan. Ia masih mengandungi cecairnya, kuning telur dan putihnya." Kuning dan albumen kelihatan telah bercampur bersama.


"Kami mungkin menjangkakan ia telah hilang selama berabad-abad tetapi ia masih ada. Ia benar-benar luar biasa. Ia mungkin telur tertua dari jenisnya di dunia.


"Telur itu mempunyai potensi penyelidikan yang besar," tambah Biddulph.


Telur itu menimbulkan persoalan bagaimana ia boleh bertahan untuk jangka masa yang lama, termasuk dari segi baka ayam, pemeliharaan serta kegunaan ayam dan burung pada zaman Rom.


Selain telur, bakul yang jarang dijumpai turut ditemukan semasa penggalian antara 2007 dan 2016. - Sumber The Guardian.


Sebuah bakul anyaman yang ditemui mengandungi roti dan juga telur. - Foto Oxford Archaeology.


EmoticonEmoticon