Selasa, 6 Februari 2024

Sekolah Kerajaan yang hanya ada seorang guru dan seorang murid


Terdapat hanya seorang murid dan seorang guru di sebuah sekolah rendah kerajaan di bandar Bathinda, negeri Punjab, di India, lapor stesen penyiaran NDTV pada 5 Februari 2024.


Guru berkenaan, Sarabjit Kaur berkata, dia mula mengajar di sekolah itu pada Mei 2023.


Apabila tiba di sekolah tersebut, dia hairan kerana hanya seorang pelajar datang sekolah manakala anak-anak kampung lain belajar di sekolah swasta.


Kaur turut berkongsi pengalamannya melawat kampung berdekatan untuk meyakinkan ibu bapa supaya menghantar anak mereka ke sekolah kerajaan.


"Saya melawat banyak rumah di kampung dan berbincang dengan ibu bapa supaya menghantar anak belajar di sekolah kerajaan.


"Semua kemudahan ada di sekolah rendah ini. Tidak ada kekurangan tetapi penduduk kampung memilih untuk menghantar anak mereka ke sekolah swasta," katanya.


Sementara itu, seorang pegawai Jabatan Pendidikan Bathinda berkata, beberapa kanak-kanak belajar di sekolah itu sebelum ini, tetapi hanya seorang pelajar tinggal sejak setahun lalu.


"Ikut garis panduan kerajaan, sekolah ini boleh ditutup dan dipindahkan ke tempat lain nanti. Kerajaan membelanjakan banyak wang untuk mendidik anak.


"Laporan lengkap akan disediakan dan dihantar kepada kerajaan oleh Jabatan Pendidikan, Bathinda tidak lama lagi," katanya. - Sumber NDTV.


Hanya tinggal seorang pelajar di sekolah itu. - Foto NDTV.


EmoticonEmoticon