Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) membuka 54 kertas siasatan terhadap syarikat Snuppe Mall yang didakwa menipu penggunanya membabitkan kerugian mencecah lebih RM1 juta.
Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK, Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, siasatan awal mendapati syarikat berkenaan mempromosikan platformnya bagi menjana pendapatan tambahan secara dalam talian.
"Individu yang berminat dikehendaki mendaftar dan membeli pakej ditawarkan serendah RM50 sehingga RM13,700 dan melakukan tugasan diberikan.
"Nilai komisen yang diterima adalah berbeza berdasarkan pakej yang disertai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pada bulan lalu, syarikat berkenaan dikesan menawarkan 'cashback' sebanyak 80 peratus bagi setiap penambahan wang ke dalam akaun menyebabkan ramai pengguna tertarik dan membuat pemindahan wang ke syarikat berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, pada 29 Januari 2024 lalu syarikat itu mengeluarkan notis mendakwa muflis dan menutup semua operasi mereka.
Menurut Rohaimi, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Rohaimi meminta mana-mana individu yang menjadi mangsa diminta tampil membuat laporan polis.
"Polis sentiasa komited dalam memastikan siasatan terhadap skim penipuan ini dilaksanakan dengan sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
"Siasatan dan tindakan selanjutnya akan diambil bagi memastikan penjenayah terlibat segera ditahan dan dihadapkan ke muka pengadilan," katanya. - Sumber Sinar Harian.
EmoticonEmoticon