Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengesan seorang peniaga ikan menggunakan bahan pewarna dipercayai untuk 'mencantikkan' ikan yang dijualnya di Pasar Malam Inanam, malam Isnin lalu.
Ia susulan pemeriksaan yang dijalankan anggota Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) DBKK bersama Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu berikutan laporan di media sosial mengenai tindakan peniaga ikan meletakkan bahan pewarna dalam tong ikan, sehari sebelum itu.
Menerusi kenyataan, Ketua Pengarah DBKK, Junainah Abbie berkata, semua 20 lot gerai menjual ikan di pasar malam terbabit diperiksa sebelum peniaga yang disyaki menggunakan pewarna dikesan.
Beliau berkata, sampel ikan yang dijual kemudian diambil oleh anggota Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut Kementerian Kesihatan (KKM) sama ada pewarna terbabit berbahaya atau tidak.
"Operasi Bahagian Pengurusan Penjaja bersama KKM dan JKPB DBKK bermula jam 7 malam hingga 9.30 malam di Pasar Malam Inanam mendapati terdapat seorang penjaja ikan disyaki meletakkan pewarna terhadap ikan yang dijualnya.
"Kita masih menunggu laporan terperinci oleh makmal KKM kemungkinan besar akan diperoleh dalam tempoh terdekat, sekiranya terbukti tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga ikan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Junainah berkata, operasi itu turut disertai KKM bagi mengesan peniaga yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan berdasarkan laporan daripada orang ramai.
"DBKK bersama KKM akan memperluaskan lagi operasi ini bagi memastikan peniaga ikan mematuhi arahan sekali gus bebas daripada menggunakan bahan pewarna terlarang bagi menjamin kesihatan pengguna," katanya.
Sebelum ini, tular satu hantaran di Facebook yang mendakwa terdapat ikan yang dijual di Pasar Malam Inanam diletakkan pewarna bagi memastikan ikan tersebut kelihatan lebih segar.
Sehubungan itu, hantaran tersebut meminta orang ramai berhati-hati supaya tidak tertipu ketika membeli ikan.
EmoticonEmoticon